Saturday, May 3, 2008

Kepimpinan : catatan satu

Beberapa tahun yang lalu, saya berkesempatan mengikuti satu sesi ceramah berkaitan kepimpinan yang disampaikan oleh W. James McNerney, CEO The Boeing Company. Ada tiga leadership fundamentals yang ditekankan oleh tokoh korporat tersebut yang saya kira elok kalau saya ketengahkan dalam catatan ini untuk renungan kita bersama.

Tiga asas kepimpinan yang dibangkitkan dalam ceramah tersebut ialah berkaitan dengan adaptability, versatility dan non-stop learning. Apa yang beliau maksudkan dengan adaptability, ialah keupayaan pemimpin itu mengadaptasikan atau menyesuaikan diri dan kepimpinan mereka dalam apa situasi sekalipun. Dalam ertikata lain, pemimpin itu harus relevan dalam konteks kepemimpinan mereka dalam mendepani apa sahaja rupabentuk persekitaran yang melingkari diri maupun organisasi. Peminpin perlu relevan dalam apa jua keadaan maupun persekitaran yang mendatang. Pemimpin perlu relevan dari aspek keilmuan dan kompetensi, perkembangan pemikiran dan sosio-politik, perubahan pengurusan dan kehendak khalayak ramai, dan sebagainya lagi. Sesuatu yang tidak relevan pastinya akan ditinggalkan oleh keadaan. Secara otomatis, saya kira jika kepimpinan itu tidak mampu merelevankan diri mereka dengan persekitaran yang ujud, kepimpinan tersebut pasti gagal dan kecundang.

Asas kedua ialah versatility atau memiliki kompetensi atau kecekapan dalam pelbagai bidang. Kepimpinan hari ini tidak akan mampu merelevankan diri dengan perkembangan pesat semasa, apatah lagi untuk melangkau masa depan dan global, tanpa memiliki kecekapan dan profesionalisme yang pelbagai dan meliputi kepelbagaian kecekapan yang diperlukan oleh seorang pemimpin. Pemimpin bukan sekadar pengarah atau pengurus organisasi yang nafasnya dibantu semata-mata oleh kedudukannya, peraturan atau polisi organisasi. Pemimpin adalah pemikir strategic yang mampu menyuntik kesedaran, inspirasi dan keyakinan para pengikut sehingga mereka bersedia untuk menyerahkan seluruh pengorbanan mereka kepada kepimpinan. Pemimpin yang jumud dan kaku, yang hanya beretorika dengan kemegahan nostalgia silam, tanpa kemampuan mengagas hari mendatang, pemimpin jenis ini selalunya berakhir riwayatnya di muzium sebelum ajal sebenarnya menjelang.

Asas ketiga ialah non-stop learning atau budaya pembelajaran tanpa henti dan berterusan.
Rasulullah saw pernah menyebut : Seseorang yang hari ininya lebih baik dari semalam, ia seorang yang beruntung. Jika hari ininya sama seperti semalam ia seorang yang rugi. Dan jika hari semalamnya lebih baik dari hari ini, maka ia seorang yang celaka. (Bukhari)

Pemimpin perlu menjelmakan dirinya sebagai individu yang beruntung. Perlu wujud dalam hidup mereka budaya peningkatan prestasi yang berterusan. Bagaimana budaya dan pencapaian prestasi ini boleh dicapai jika usaha atau inisiatif meningkatkan ilmu dan pengetahuan tidak dijadikan agenda bertindak yang utama dalam hidup para pemimpin. Ilmu dan pengetahuan adalah elemen penting yang akan menjana kompetensi dan profesionalisme dan sekaligus membentuk versatility kepimpinan dan bakal meletakkan mereka dalam garis relevancy atau adaptability sesuatu kepimpinan itu sendiri.