Sunday, July 6, 2008

Penyelenggaraan Dalam Jamaah


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(at-Taubah : 24)


I


Semasa bercuti balik kampung di Kelantan baru-baru lalu, saya sempat singgah di Pasar Pasir Mas. Parking pula kereta di hadapan Stesen Keretapi Pasir Mas. Saya kira bangunan baru stesen itu masih dalam pembinaan tahap akhir dan persekitaran bangunan baru itupun masih ‘under construction’. Laluan berhampirannya masih tidak bertar dan hari itu ianya agak becak kerana baru lepas hujan. Di hadapan stesen itu juga terdapat sebuah ‘taman atau tempat rehat’ yang agak luas juga. Ada binaan seperti wakaf-wakaf dan kerusi-kerusi yang dibina dari kayu dan batu. Taman rehat itu nampaknya begitu sesuai di lokasi tersebut kerana tempatnya agak strategic dan menjadi tumpuan ramai. Tapi, dari pengamatan saya, taman rehat itu nampaknya berada dalam keadaan tidak diselenggara secara baik. Binaan-binaan yang ada kelihatan lusuh dan kotor. Bumbung wakaf juga kebanyakannya bocor di samping kerusi yang disediakan ada yang telah rosak dan lusuh. Keadaan ini agak mencacatkan suasana dan sekaligus menurunkan kadar kepuasan kepenggunaannya. Objektif diwujudkan taman itu saya kira semakin tidak tercapai.

Beberapa tahun yang lalu, saya berkesempatan ke Hamburg, Germany atas urusan rasmi. Antara yang saya tertarik ialah melihatkan kebersihan dan keindahan taman-taman rehat yang ada di sana. Walaupun tama-taman itu kelihatan telah lama dibangunkan, tetapi ianya masih selesa dan berkesan untuk digunakan. Keadaannya masih cantik dan kondusif sekali. Saya difahamkan, Germany adalah Negara yang amat menitikberatkan ‘sustainbility’ atau kemampanan dalam sebarang bentuk binaan. Justeru itu elemen penyelenggaraan yang berkesan amat mereka titikberatkan. Barangkali kita perlu turut menekankan kepentingan penyenggelaraan yang optimum terhadap apa jua binaan yang dibangunkan. Merujuk kepada taman rehat di hadapan Stesen Keretapi Pasir Mas itu, saya rasa perancangan penyelenggaraannya tidak begitu berkesan dan perlu ditambahbaikan.

II

Membangun Jamaah adalah seumpama membina binaan. Leluhur kita dulu telah membina Jamaah ini dengan perancangan dan usaha yang rapi dan gigih. Bahan binaannya dipilih dari jenis yang bermutu tinggi, antara lainnya agar binaan itu menjadi kental dan mampu bertahan lama. Namun, seumpamalah sebuah binaan, meskipun binaan itu telah besar, mantap dan terbukti mendatangkan hasil yang telah dicita-citakan, perancangan dan usaha ‘penyelenggaraannya’ perlu juga diambil perhatian. Salah satu aspek ‘penyelenggaraan’ Jamaah yang perlu diberi perhatian ialah ‘memastikan kekentalan zattiyyah atau unsur personality diri para pendukungnya’tetap dan semakin kukuh.

Jamaah kini semakin berkembang. Soal kemasukan tenaga baru barangkali salah satu aspek penjanaan Jamaah yang tidak boleh dipinggirkan. Tetapi soal memastikan tenaga lama tetap kental dan bermutu juga perlu diselenggara sebaik mungkin. Di sinilah terserlah pentingnya aspek penyelenggaran zattiyyah atau personality diri para pendukung yang telah lama bergelumang dengan perjuangan. Kebanyakan kita memasuki Jamaah ini melalui pintu usrah dan tamrin. Dari sinilah kita membina zattiyyah atau diri kita dengan melalui proses dan pengalaman tarbiyyah yang panjang. Zaman awal 80an dulu adalah kemuncak, saya kira, di mana agenda tarbiyyah menjadi begitu penting dan bermakna bagi para pendukung Jamaah, khususnya di kalangan para pemuda. Tempias revolusi Khomeini di Iran dan membara perjuangan mujahidin di Afghanistan menjana kekuatan tarbiyyah kita di sini. Era kepimpinan ulama’ membentuk senario baru dalam pentarbiyyahan Jamaah.

Pentarbiyyahan zattiyyah dalam hidup seorang anggota Jamaah tidak akan ada noktahnya, melainkan kematian datang menjemput kita. Sebenarnya diri kita memerlukan penyelenggaraan sepanjang masa untuk tetap utuh dan mampu berpartisipasi secara berkesan dengan realiti perjuangan. Saya kira dua aspek penting zattiyyah yang perlu diselenggara secara berkesan ialah aspek ilmu dan ruhiyyah. Ilmu untuk memastikan kita tetap releven dan matang dari sudut pengetahuan dan bermaklumat, serta kemantapan ruhiyyah untuk memastikan penjanaan tenaga dalaman kita tetap kuat dan membara meskipun jasad semakin lemah di makan usia.

Dalam pemerhatian saya, mereka yang masih kekal teguh mengharungi perjuangan ini kelihatannya menyelenggara dengan baik aspek ilmu dan ruhiyyah mereka. Ilmu mereka sentiasa ‘up to date’ dan releven dalam apa jua bidang yang mereka participate. Menjadikan mereka mampu bergerak bersama majunya Jamaah dan ummah. Dari sudut ruhiyyah pula, mereka tetap kental meskipun berhadapan dengan mehnah dan fitnah perjuangan, maupun tawaran duniawi yang amat mengiurkan. Iman dan akhlaq mereka tetap murni dan makin terserlah. Yang gagal menyelenggara sudut ini, kelihatan tersungkur dalam perjalanan yang panjang ini. Kelemahan untuk ‘update’ ilmu boleh menyebabkan kita terpinggir dalam pertembungan intelektual yang begitu tajam dan getir hari ini. Jangankan nak membaca dan analisa isu dan teori politik semasa secara tepat dan jitu, malahan hendak menerjemah sirah Rasulullah saw dalam usrah agar ianya dapat dijelmakan dalam realiti semasa pun kerap kali kita tengelam punca. Jika ini berlaku, kerap kali kita akan terpinggir secara perlahan-lahan dari kafilah perjuangan yang semestinya akan deras menerobos masa, sedangkan kita masih terkial-kial bergurindam irama lama zaman 80an. Tidak kurang pula yang tersungkur kerana terpadam suara nurani mereka kerana pengaruh dunia yang mengila. Dulu, saya tak pernah nampak ada ruang untuk orang mencari harta dan kedudukan dunia melalui Jamaah. Tapi hari ini pintu untuk si gila harta dan kedudukan terbuka luas dalam Jamaah. Jika ini tidak diselenggara dengan baik, tidak mustahil ramai akan gugur dalam perjuangan kerana ditelan nafsu gilakan harta dan kedudukan. Di sinilah pentingnya selenggaraan ruhiyyah dilaksanakan sepanjang masa.

Kita berdoa agar Allah sentiasa menetapkan kita dalam perjuangan ini sehinggalah kita dipanggil menghadapNya.

1 comment: