Friday, May 15, 2009

Berpindah Blog

Sahabat sekalian,

Saya dah berpindah ke blog baru.
Jemput-jemputlah menjenguk ke : http://abukhalis.wordpress.com

Wednesday, July 30, 2008

Pengajaran Ada Di Mana-Mana



Beberapa hari yang lalu, saya berkesempatan menyampaikan sepatah dua tazkirah di sebuah masjid di Macap, bersempena dengan sambutan Isra’ wal Mi’raj. Setelah selesai menyampaikan ceramah, seperti biasa para jamaah bersama-sama menikmati jamuan yang disediakan. Saya mengadap hidangan setalam dengan beberapa orang AJK masjid sementara itu di sebelah kami kelihatan beberapa orang saudara kita dari kalangan warga Bangladesh sedang menjamu selera setalam sesama mereka.

Bila melihat saya kerap tertoleh-toleh melihat gelagat saudara-saudara warga asing itu, salah seorang sahabat yang makan setalam dengan saya bersuara :

‘Ustaz… mereka ni sahabat-sahabat kita warga Bangladesh. Dia orang ni kerja kat kilang di Macap. Tapi Ustaz... dia orang ni tak pernah mis solat berjamaah di Masjid ni ’.

’Dia orang ni tinggal kat kampong ni ke? Saya tanya.

’Tak. Dia orang tinggal kat Macap la... ada asrama kat kilang tu.’

’Dia orang ni datang sini dengan apa..? Saya tanya lagi sebab setahu saya Macap tu agak jauh dari masjid itu. Tiga km tak kurang rasanya.

’Dia orang jalan kaki je Ustaz.’

’Tiap-tiap subuh dia orang jalan kaki ke masjid ni untuk solat berjamaah. Tak pernah mis solat subuh berjamaah dia orang ni..’ Sampuk pula seorang pemuda di sebelah saya.

Sewaktu memandu pulang, saya melalui 1 km jalan kampung dan 1.8 km jalanraya untuk sampai ke Macap. Sambil-sambil menoleh ke kiri dan kanan jalan, hati saya berkata : gelap jugak jalan ni.

Tetiba saya teringat sesuatu.

’Ustaz...maaf, ada sahabat-sahabat tak dapat hadir liqa’ kat rumah ustaz, sebab tak ada kenderaan...’ Jelas seorang siswa melalui telefon satu masa dulu.

Saya tergelak kecil mengingatkan gelagat orang kita yang serba mewah hari ini. Kalau jalan kaki pun, rumah saya baru 2.2 km dari jalanraya besar.

Berangkatlah kamu, sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (at-Taubah : 41)

Sunday, July 6, 2008

Penyelenggaraan Dalam Jamaah


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(at-Taubah : 24)


I


Semasa bercuti balik kampung di Kelantan baru-baru lalu, saya sempat singgah di Pasar Pasir Mas. Parking pula kereta di hadapan Stesen Keretapi Pasir Mas. Saya kira bangunan baru stesen itu masih dalam pembinaan tahap akhir dan persekitaran bangunan baru itupun masih ‘under construction’. Laluan berhampirannya masih tidak bertar dan hari itu ianya agak becak kerana baru lepas hujan. Di hadapan stesen itu juga terdapat sebuah ‘taman atau tempat rehat’ yang agak luas juga. Ada binaan seperti wakaf-wakaf dan kerusi-kerusi yang dibina dari kayu dan batu. Taman rehat itu nampaknya begitu sesuai di lokasi tersebut kerana tempatnya agak strategic dan menjadi tumpuan ramai. Tapi, dari pengamatan saya, taman rehat itu nampaknya berada dalam keadaan tidak diselenggara secara baik. Binaan-binaan yang ada kelihatan lusuh dan kotor. Bumbung wakaf juga kebanyakannya bocor di samping kerusi yang disediakan ada yang telah rosak dan lusuh. Keadaan ini agak mencacatkan suasana dan sekaligus menurunkan kadar kepuasan kepenggunaannya. Objektif diwujudkan taman itu saya kira semakin tidak tercapai.

Beberapa tahun yang lalu, saya berkesempatan ke Hamburg, Germany atas urusan rasmi. Antara yang saya tertarik ialah melihatkan kebersihan dan keindahan taman-taman rehat yang ada di sana. Walaupun tama-taman itu kelihatan telah lama dibangunkan, tetapi ianya masih selesa dan berkesan untuk digunakan. Keadaannya masih cantik dan kondusif sekali. Saya difahamkan, Germany adalah Negara yang amat menitikberatkan ‘sustainbility’ atau kemampanan dalam sebarang bentuk binaan. Justeru itu elemen penyelenggaraan yang berkesan amat mereka titikberatkan. Barangkali kita perlu turut menekankan kepentingan penyenggelaraan yang optimum terhadap apa jua binaan yang dibangunkan. Merujuk kepada taman rehat di hadapan Stesen Keretapi Pasir Mas itu, saya rasa perancangan penyelenggaraannya tidak begitu berkesan dan perlu ditambahbaikan.

II

Membangun Jamaah adalah seumpama membina binaan. Leluhur kita dulu telah membina Jamaah ini dengan perancangan dan usaha yang rapi dan gigih. Bahan binaannya dipilih dari jenis yang bermutu tinggi, antara lainnya agar binaan itu menjadi kental dan mampu bertahan lama. Namun, seumpamalah sebuah binaan, meskipun binaan itu telah besar, mantap dan terbukti mendatangkan hasil yang telah dicita-citakan, perancangan dan usaha ‘penyelenggaraannya’ perlu juga diambil perhatian. Salah satu aspek ‘penyelenggaraan’ Jamaah yang perlu diberi perhatian ialah ‘memastikan kekentalan zattiyyah atau unsur personality diri para pendukungnya’tetap dan semakin kukuh.

Jamaah kini semakin berkembang. Soal kemasukan tenaga baru barangkali salah satu aspek penjanaan Jamaah yang tidak boleh dipinggirkan. Tetapi soal memastikan tenaga lama tetap kental dan bermutu juga perlu diselenggara sebaik mungkin. Di sinilah terserlah pentingnya aspek penyelenggaran zattiyyah atau personality diri para pendukung yang telah lama bergelumang dengan perjuangan. Kebanyakan kita memasuki Jamaah ini melalui pintu usrah dan tamrin. Dari sinilah kita membina zattiyyah atau diri kita dengan melalui proses dan pengalaman tarbiyyah yang panjang. Zaman awal 80an dulu adalah kemuncak, saya kira, di mana agenda tarbiyyah menjadi begitu penting dan bermakna bagi para pendukung Jamaah, khususnya di kalangan para pemuda. Tempias revolusi Khomeini di Iran dan membara perjuangan mujahidin di Afghanistan menjana kekuatan tarbiyyah kita di sini. Era kepimpinan ulama’ membentuk senario baru dalam pentarbiyyahan Jamaah.

Pentarbiyyahan zattiyyah dalam hidup seorang anggota Jamaah tidak akan ada noktahnya, melainkan kematian datang menjemput kita. Sebenarnya diri kita memerlukan penyelenggaraan sepanjang masa untuk tetap utuh dan mampu berpartisipasi secara berkesan dengan realiti perjuangan. Saya kira dua aspek penting zattiyyah yang perlu diselenggara secara berkesan ialah aspek ilmu dan ruhiyyah. Ilmu untuk memastikan kita tetap releven dan matang dari sudut pengetahuan dan bermaklumat, serta kemantapan ruhiyyah untuk memastikan penjanaan tenaga dalaman kita tetap kuat dan membara meskipun jasad semakin lemah di makan usia.

Dalam pemerhatian saya, mereka yang masih kekal teguh mengharungi perjuangan ini kelihatannya menyelenggara dengan baik aspek ilmu dan ruhiyyah mereka. Ilmu mereka sentiasa ‘up to date’ dan releven dalam apa jua bidang yang mereka participate. Menjadikan mereka mampu bergerak bersama majunya Jamaah dan ummah. Dari sudut ruhiyyah pula, mereka tetap kental meskipun berhadapan dengan mehnah dan fitnah perjuangan, maupun tawaran duniawi yang amat mengiurkan. Iman dan akhlaq mereka tetap murni dan makin terserlah. Yang gagal menyelenggara sudut ini, kelihatan tersungkur dalam perjalanan yang panjang ini. Kelemahan untuk ‘update’ ilmu boleh menyebabkan kita terpinggir dalam pertembungan intelektual yang begitu tajam dan getir hari ini. Jangankan nak membaca dan analisa isu dan teori politik semasa secara tepat dan jitu, malahan hendak menerjemah sirah Rasulullah saw dalam usrah agar ianya dapat dijelmakan dalam realiti semasa pun kerap kali kita tengelam punca. Jika ini berlaku, kerap kali kita akan terpinggir secara perlahan-lahan dari kafilah perjuangan yang semestinya akan deras menerobos masa, sedangkan kita masih terkial-kial bergurindam irama lama zaman 80an. Tidak kurang pula yang tersungkur kerana terpadam suara nurani mereka kerana pengaruh dunia yang mengila. Dulu, saya tak pernah nampak ada ruang untuk orang mencari harta dan kedudukan dunia melalui Jamaah. Tapi hari ini pintu untuk si gila harta dan kedudukan terbuka luas dalam Jamaah. Jika ini tidak diselenggara dengan baik, tidak mustahil ramai akan gugur dalam perjuangan kerana ditelan nafsu gilakan harta dan kedudukan. Di sinilah pentingnya selenggaraan ruhiyyah dilaksanakan sepanjang masa.

Kita berdoa agar Allah sentiasa menetapkan kita dalam perjuangan ini sehinggalah kita dipanggil menghadapNya.

Saturday, May 10, 2008

Segenggam Bekalan, Untuk Anakanda Kami...Natasha

Babak satu : Mekah

Setelah sekian lama meredah padang pasir yang kontang dan panas membara, akhirnya Abu Dzar al Ghifari tiba dengan penuh keletihan di kota Mekah. Tanpa bertangguh-tangguh ia mula mendekati kelompok-kelompok orang yang berkumpul di kota suci itu. Telinganya di pasang lebar untuk mencuri dengar apa pertuturan dan cerita-cerita yang mereka bicarakan. Hanya satu yang menjadi hasrat telinganya mendengar dan hatinya ingin ketahui, di mana dia boleh menemui seseorang yang didengar berita olehnya mengaku menjadi utusan Allah. Dari jauh ia datang, kerana dibawa suara hatinya untuk mengetahui dan mendengar dengan telinganya sendiri perihal ajaran yang dilaungkan oleh insan yang mendakwa sebagai utusan Allah itu. Telah sekian lama ia menyimpan hasrat yang membuak-buak di dada. Keinginan yang membara itu mengikis selera makan minumnya saban hari, membuat matanya tidak terpejam sepanjang malam dan terasa sempit dunia ini di hatinya. Segala keinginan yang besar itu menjadi bekal untuk kakinya menapak membelah hamparan padang pasir yang panas membara, menuju hidayah yang memancar jauh.

Akhirnya, ia dapat mengenggam maklumat tentang orang yang ia cari selamanya ini. Betapa gembira hatinya apabila bersua muka dengan Muhammad, Rasulullah saw buat pertama kalinya. Mendengar butiran mutiara-mutiara wahyu yang diperdengarkan kepadanya oleh Rasulullah saw, yang tidak pernah ucapan seperti itu didengar oleh telinganya selama ini, menyebabkan hatinya, jiwanya, akal dan nalurinya tersungkur sujud kepada Tuhan Yang Maha Esa. Tanpa berlengah ia berlari kepada Tuhannya untuk menyerahkan seluruh hidup dan matinya kepada Rabbul ‘alamin.

Rasulullah bertanya kepadanya : wahai saudaraku, kamu ini dari kabilah mana ?

Abu Dzar menjawab : aku dari kabilah bani Ghifar, ya Rasulullah.

Terpegun dan kaget seketika Rasulullah, sebelum mulut baginda saw menyebut : Sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Betapa tidak mengagetkan, Abu Dzar adalah dari kabilah Bani Ghifar ! Suku kaum yang terkenal di sekitar tanah Arab. Terkenal dengan kekuatan fizikalnya. Terkenal dengan gedeber, bengis, berani, kejam dan berbagai kerja-kerja menganasi manusia lain. Kalau ada di kalangan mereka ini yang datang bersujud kepada Islam, tidaklah menghairankan jika ianya mengagetkan Rasulullah saw. Semacam jadi sebuah pepatah : Kalau nak diharapkan orang Ghifar menerima Islam, barangkali unta mereka dululah yang akan masuk Islam sebelum mereka. Begitulah lebih kurang tipisnya harapan umat Islam ketika itu untuk mengislamkan bani Ghifar.

Setelah memeluk Islam, Abu Dzar kembali ke kabilahnya di tengah belantara pasir dengan membawa amanah dakwah yang amat besar.

Babak dua : Madinah

Sewaktu kota Madinah berada dalam keadaan cemas dan curiga dengan ancaman musuh dari luar, di suatu petang yang panas terik, tiba-tiba penduduk Madinah gempar apabila terlihat oleh mereka kepulan debu yang berterbangan tinggi dan suara derapan kaki haiwan dan manusia menapak menghampiri kota Rasulullah saw itu. Melihat kepada kepulan debu itu, ternyata satu kafilah besar sedang menuju Madinah. Penduduk Madinah mendatangi Rasulullah saw dan mereka bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Namun, kebimbangan mereka agak reda kerana terdengar laungan takbir bersahut-sahutan dari kafilah tersebut. Setelah kafilah tersebut hampiri kota, mereka mengenali pemimpin kafilah tersebut. Kegusaran Rasulullah dan para sahabat bertukar menjadi kegembiraan dan kebahgiaan yang tidak terhingga. Bila berhadapan dengan Rasulullah, Abu Dzar tampil berkata :

Ya Rasulullah, ini ku bawakan kepadamu seluruh kaum ku, bani Ghifar dan bani Aslam.

Bercucuran airmata Rasulullah dan para sahabat menerima kedatangan Abu Dzar dan kaumnya yang telah menerima Islam di tangan Abu Dzar.

Sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Ia kehendaki.


Babak ketiga : Tabuk

Pasukan mujahidin yang dipimpin oleh Rasulullah semakin menghampiri Tabuk setelah berhari-hari menempuh perjalanan yang amat memayahkan. Dalam perjalanan ke perang Tabuk (yang tak jadi berlaku) ini, para munafiqun ramai yang memberi alasan untuk tidak ikut serta. Terdapat juga beberapa orang sahabat yang ketinggalan. Sewaktu berehat untuk bermalam berhampiran Tabuk, para sahabat memberitahu Rasulullah saw bahawa mereka tidak nampak kelibat Abu Dzar. Mereka beranggapan Abu Dzar mungkin termasuk orang yang tertinggal.

Dalam remang cahaya mentari petang yang mula berlabuh, terlihat dari jauh sebatang tubuh yang longlai berjalan kaki dan memikul bekalan yang berat, berseorangan, menghampiri pasukan yang sedang berkhemah.

Para sahabat mendatangi Rasulullah memaklumkan : Ya Rasulullah, Abu Dzar telah tiba, memikul bekalannya berseorangan.

Abu Dzar pada asalnya berkenderaan unta di bahagian belakang pasukan mujahidin tersebut. Namun di pertengahan jalan, untanya ditimpa sakit dan tidak mampu berjalan pantas dan menyaingi pasukan yang terus berjalan. Abu Dzar mengambil keputusan untuk memikul sendiri bekalan yang ia bawa dan meninggalkan untanya untuk terus berjalan kaki menjejaki pasukan yang telah mendahuluinya.


Jangan Tunggu Esok Untuk Melangkah ke Hadapan


I

Bila kita melangkah keluar dari kampus dengan gelar graduan, suatu fasa lama dalam hidup kita telah kita tinggalkan dan kita melangkah masuk ke fasa hidup yang lain pula. Meskipun setiap fasa itu mempunyai scenario yang tersendiri, namun scenario itu sentiasa bertaut rapat antara satu dengan yang lain. Acuan yang membentuk fiqrah dan keperibadian kita sewaktu di alam persekolahan contohnya, sedikit sebanyak akan turut mewarnai proses pembinaan fiqrah dan keperibadian kita sewaktu kita di alam kampus. Dan bila kita melangkah keluar dari kampus, kita akan masuk dalam scenario dan acuan yang baru. Situasi dan persekitaran yang tidak menentu pasti mendepani jalan hidup kita. Di sinilah pentingnya keupayaan dan kebijaksanaan kita untuk menangani atau mengurus perubahan yang melanda dalam hidup kita. Mungkin peringkat ini, tahap perubahannya akan lebih kompleks dan mencabar berbanding dengan perubahan yang telah kita tangani sewaktu di kampus. Perubahan pasti berlaku dalam setiap perubahan hari dalam hidup ini. Islam mengajar kita untuk sentiasa berubah kearah yang lebih baik setiap kali mentari baru menjelma dalam hari-hari hidup kita. Hari ini perlu lebih baik dari semalam dan esok perlu lebih baik dari hari ini. Prinsip ini perlu dipegang kukuh oleh kita semua.


II

Setiap graduan muda yang keluar dari kampus, perlu ada impian yang tinggi. Impian untuk cemerlang dalam kehidupan. Samada dalam bidang kerjaya, dalam Jamaah dan perjuangan, dalam keluarga, dalam masyarakat dan sebagainya. Gambaran betapa besarnya impak menjana impian dalam roda hidup dan perjuangan ialah yang terserlah dalam sirah Rasulullah saw sendiri. Lihat bagaimana Baginda menjanjikan gelang Raja Kisra kepada Suraqah bin Malik apabila sahabat itu memeluk Islam sewaktu Rasulullah dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Begitu juga sewaktu Baginda saw menjanjikan kejatuhan Rom dan Parsi sewaktu peristiwa membelah batu semasa pengalian parit untuk perang Khandak. Itulah pernyataan impian besar umat Islam pada masa itu untuk meneguhkan hati mereka tentang kemenangan Islam pada masa hadapan.

Kita membina impian di atas landasan yang kukuh dan benar. Kita telah diutus oleh Allah sebagai umat yang terbaik yang membawa agama yang menjadi rahmat bagi alam ini. Inilah intipati impian kita. Bina impian untuk hari depan kita. Bentuk dan kukuhkan impian itu dalam peta minda kita. Jangan tunggu esok untuk melangkah bagi mencapai impian itu. Apa jua halangan mendatang, ianya adalah cabaran dan ujian Allah untuk mendewasakan kita dalam hidup dan meningkatkan pahala bagi kita. Segala yang ada di sekeliling kita, adalah potensi medan perjuangan dan dakwah kita. Lihat secara positif segala scenario dan persekitaran yang mengelilingi kita. Ambil contoh kalau kita diberikan sebiji limau nipis. Persepsi pertama kita ialah buah limau nipis itu adalah amat masam dan tidak enak dimakan. Tapi kalau lihat secara positif, cuba ambil segelas air kosong, masukkan sedikit gula ke dalamnya dan perah limau nipis tadi ke dalam air itu. Masukkan pula ketulan ais. Limau yang masam kelat itu sudah bertukar menjadi ais limau yang amat enak. Kebijaksanaan untuk merubah situasi atau sesuatu yang masam atau pahit menjadi manis dan bermakna adalah suatu kelebihan yang perlu kita doakan agar Allah anugerahkan pada kita.

Bina impian kita untuk dakwah dan perjuangan. Mimpikan tempat dan sumbangan kita yang paling cemerlang dalam dakwah dan perjuangan ini. Bina impian untuk kecemerlangan kerjaya kita. Impian kita adalah untuk menjadi pekerja yang paling cemerlang. Tidak salah kalau kita bina impian untuk menjadi jutawan seperti Abdul Rahman bin Aus. Bina impian kita untuk memiliki keluarga paling bahgia di muka bumi ini. Dari impian inilah lahirnya misi, visi, prinsip hidup dan kenikmatan menempuh cabaran yang mantap dan kukuh. Bina impian untuk hari depan kita. Bina impian.Tetapi ingat, jangan tunggu esok untuk melangkah mencapai impian kita itu.


III

Dapatkan murabbi dan mentor dalam usaha mencapai impian kita. Selain mendoakan agar beroleh hidayah dari Allah, kita perlu bimbingan mereka yang berkelayakan untuk menjadi murabbi dan mentor dalam hidup kita. Murabbi boleh pimpinan jamaah, naqib kita atau sahabat-sahabat yang berilmu dan matang dalam perjuangan, atau suami kita, atau alim ulama muktabar yang memandu kita melalui ucapan dan tulisan-tulisan mereka. Murabbi adalah mereka yang akan sentiasa membimbing dan menyuntik inspirasi untuk ruhiyyah, fiqrah dan amal kita. Mentor pula adalah mereka yang membimbing dan memberi inspirasi kepada kita untuk cemerlang samada dalam hidup atau kerjaya. Mentor tidak semestinya mereka satu jamaah dengan kita. Mereka yang berjaya dalam bidang-bidang kerjaya atau yang mengenali hikmah kehidupan boleh kita rujuk sebagai mentor kita.


IV

Kita beruntung jika ditakdirkan memulakan hidup selepas bergraduan di persekitaran yang telah ada Jamaah yang aktif dan mantap. Lebih-lebih lagi berdekatan pula dengan bekas sahabat-sahabat Jamaah dari universiti yang sama atau pernah berkenalan di zaman kampus dahulu. Saluran untuk kita bergabung dengan Jamaah agak memudahkan. Samada senang atau susah, mengabungkan diri dengan Jamaah adalah suatu kewajiban yang paling penting selepas bergraduan. Mulakan pengabungan dengan langkah berkenal-kenalan dengan ahli Jamaah. Ziarahi para pimpinan Jamaah setempat untuk taaruf dan ikatan silatur rahim. Libatkan diri dengan usrah dan lain-lain aktiviti tarbiyyah. Tawarkan diri untuk melakukan kerja-kerja Jamaah yang kita mampu. Jangan malu untuk belajar dari orang yang lebih tahu, walaupun mungkin mereka bukan dari golongan graduan seperti kita. Jangan terasa janggal jadi AJK kecil dalam Jamaah meskipun waktu di kampus dulu kita adalah pimpinan majlis syura. Jangan lemah untuk bermula dari bawah kalau itu saluran yang membolehkan kita menyumbang untuk perjuangan. Saya memulakan penglibatan dalam Jamaah dengan tugas mencatat minit Mesyuarat Agong Cawangan sahaja, walaupun masa itu saya baru sebulan bergelar graduan.

Tetapi, jika ditakdirkan kita yang harus menjadi peneroka kepada pembentukan Jamaah di sesuatu tempat, maka itu adalah rezeki perjuangan yang amat besar bagi kita. Meneroka tidak sama dengan melalui jalan yang telah diteroka orang yang terdahulu. Meneroka memerlukan kebijaksanaan, kegigihan dan pengorbanan yang tinggi. Jangan sekali-kali jiwa kita merudum semata-mata kerana kita terlantar keseorangan di lembah yang jauh. Bina impian yang tinggi dan suci, sepertimana impian Abu Dzar al Ghifari. Jangan sekali-kali menyalahkan persekitaran dan sikap dingin manusia terhadap Islam sebagai penyebab kelesuan kita. Cari kekhilafan diri sendiri dan perbaiki semaksima mungkin. Kita umat terbaik di sisi Allah dan berbekalkan bekalan yang terbaik yang Allah bekali kita. Mulakan dengan mencari bakal-bakal mad’u yang menampilkan akhlak Islam yang baik. Tawan aqliyyah dan ‘athifah mereka dengan Islam yang kita percontohkan. Bina impian untuk jadikan mereka bakal aktivis Islam yang paling cemerlang. Islam tidak pernah meletakkan syarat bahawa peneroka dakwah itu hanya diperuntukan untuk lelaki sahaja. Muslimat juga mampu meneroka jalan. Tangan yang lembut itu mampu mengoncang dunia.

Semarakkan dakwah ini walau di medan mana kita berada. Di pejabat kita, di institusi kita, di premis perniagaan kita, di kampong kita, atau di mana sahaja bumi kita berpijak.


V

Allah amat dekat dengan kita. Jangan terpisah dengan Allah walau seketika. Justeru itu, jangan jemu untuk sentiasa perbanyakan amal. Solat, qiam al layl, zikrullah, tafakur, membaca dan menyelami al-Quran, selawat, bersedeqah, munajat, dan sebagainya adalah di antara amal-amal penting untuk mengikat diri dengan Allah dan sekaligus membina kekuatan ruhiyyah kita untuk mengharungi hidup dan perjuangan ini.

Wednesday, May 7, 2008

Antara Dua Budaya

‘Saya berminat untuk bekerja di Universiti kerana saya merindui persekitaran sebuah Universiti. Di sini berkumpul golongan cendikiawan dan tentunya intellectual discources nya amat subur. Perpustakaannya juga tentunya dipenuhi oleh bahan-bahan bacaan yang amat bermutu. Budaya dan sistem pengurusannya tentu berprestasi tinggi dan fasilitinya pula pasti canggih. Dalam persekitaran seperti ini saya akan berpeluang untuk memanfaatkan segala yang ada itu untuk develope diri dan kompetensi ke tahap paling maksima, sekaligus meningkatkan kecemerlangan sumbangan kerjaya saya di sini. Tempat lain tiada kelebihan seperti ini'

Catatan di atas sebenarnya adalah di antara jawaban yang diberikan oleh seorang gadis berketurunan Cina yang menjawab pertanyaan saya sewaktu beliau ditemuduga untuk mengisi jawatan Pegawai Tadbir Universiti. Sebenarnya sebelum giliran beliau ditemuduga, tidak kurang dari sepuluh calon lain yang telah ditemudugakan. Kesemua mereka adalah Melayu. Rasanya adil kalau saya catat kembali apa pula jawaban kesemua calon-calon Melayu tersebut apabila saya tanyakan soalan yang sama iaitu mengapa anda berminat untuk bekerja di Universiti ini? Jawaban mereka sememangnya pelbagai, tapi rumusan yang dapat saya simpulkan ialah berkisar atas sebab-sebab : berbakti kepada organisasi, mencurah kepakaran, nak balik kampong, isteri atau suami bekerja di sini atau di sekitar, nak jaga ibu-bapa atau nenek di kampong berhampiran, dan berbagai lagi sebab-sebab yang sewaktu dengannya.

Saya yakin kita semua dapat melihat garis perbedaan dalam menilai tahap pemikiran dan budaya yang tersirat dan tersurat pada kedua-kedua blok jawaban tersebut. Elok rasanya kita pakat-pakat renung bersama.

Monday, May 5, 2008

BN MENANG KITA SENANG

BN MENANG KITA SENANG

Tajuk di atas itu bukan rekaan saya untuk dijadikan title bagi catatan ini. Tajuk atau motto atau mungkin boleh masuk kategori pantun sekerat yang tersebut itu sebenarnya adalah tulisan besar yang terpapar pada pintu gerbang untuk memasuki sebuang kampung berhampiran rumah saya. ( sebenarnya dalam bahagian UMNO yang terkuat di dunia ). Di puncak pintu gerbang itu pula terpacak bendera BN. Saya perhati tak ada pulak bendera UMNO kat situ. Walaupun pada masa kempen PRU12 yang lalu, kawasan itu dipenuhi juga oleh bendera keris.

Bila baca motto atau pantun sekerat kat atas pintu gerbang itu, terasa gatal pula minda saya nak cuba mengulas. Walaupun saya sememangnya sedar diri, bahawa kakitangan kerajaan, seperti yang diingatkan oleh Pak Lah, agar biarkan orang politik selesaikan masalah politik, kakitangan kerajaan jangan masuk campur. Saya nak mengulas dan bercakap juga soal politik. Bukan saya nak langgar nasihat atau ugutan Pak Lah, tapi saya yakin yang Pak Lah maksudkan jangan campur urusan politik itu ialah jangan pegang mana-mana jawatan dalam mana-mana parti politik, atau jangan bercakap tentang politik di atas platform parti-parti politik, dan bukannya jangan bercakap langsung tentang politik. Saya tidak memegang mana-mana jawatan dalam parti politik. Saya juga bukan berkempen atau bercakap untuk mana-mana parti politik. Saya cuma ingin berkongsi untuk bercakap mengenai politik secara telus. Pada saya Pak Lah tentu setuju dengan saya. Semua parti politik perlu dengar pandangan atau idea dari mana-mana pihak yang menjadi pengundi mereka, lebih-lebih lagi dari kakitangan kerajaan. Apatah lagi orang Universiti. Mereka juga mempunyai idea dan pandangan-pandangan yang baik dan bernas. Amat baik kalau bagi mereka peluang untuk bercakap secara telus dan jujur, lalu parti-parti politik akan dapat menilai persepsi masyarakat secara menyeluruh kepada mereka. Dan ini tentunya amat berguna untuk mereka merangka strategi politik pada masa depan. Saya yakin, semua kakitangan kerajaan hari ini amat profesional dalam kerjaya mereka. Mereka tahu membedakan antara tugasan dan tanggungjawab mereka sebagai kakitangan kerajaan dan peranan mereka sebagai warga dan pengundi yang berakal serta matang. Kakitangan kerajaan bukan hamba parti politik, mereka juga hamba Allah dan kuli rakyat macam Pak Lah juga. Tetapi yang agak nyatanya ialah, yang kerap kali tidak bertindak profesional ialah ahli politik. Mereka yang kerap mengunakan kemudahan kerajaan untuk kepentingan peribadi dan parti politik mereka sendiri.

Berbalik kepada pantun sekerat ’BN MENANG KITA SENANG’. Dalam masa orang politik sibuk berkempen dalam musim PRU12 baru-baru ini, saya berkesempatan ke majlis rewang (persiapan kenduri, kata orang jawa rewang) dan ambil kesempatan bersembang dengan beberapa orang veteran kampung tempat saya menetap. Seorang dari mereka berkata pada saya : ’ Ustaz... orang PAS ni tak payahlah sibuk-sibuk lagi nak masuk kampung kita berkempen...’ Saya tanya kenapa wak? Selamba saja pentol jawa tu jawab : ’Sekarang ni orang kampung dah mula terasa peritnya hidup bawah BN.... Harga sawit naik,... tapi harga baja pun naik..racun naik...gandum naik...minyak masak naik....jenayah naik...semua naik.... kalau PAS tak datang kempen pun kita orang dah rasa peritnya..... tak payah PAS kempen pun kami tak akan undi BN lagi.....’. al hasilnya.....BN hilang lima kerusi di Johor. Dan yang pastinya...Johor bukan lagi selamat bagi BN, khususnya UMNO.

Pada saya, yang dimaksudkan dengan KITA SENANG tu ialah ketua-ketua bahagian UMNO dan para pimpinan UMNO di pelbagai peringkat, dan pastinya bukan rakyat macam saya dan wak-wak yang mengait sawit yang marhaein ini yang senang. Mereka yang cari makan dan kemewahan melalui UMNO itu yang senang. Bukan kami rakyat marhein ini. UMNO ni patutnya gunalah akal sikit bila nak tarik mengundi atau sokongan rakyat. Rakyat perit memamah kepahitan kenaikan harga barang dan ketandusan ruang untuk bekerja mencari sesuap nasi, mereka datang memasarkan gurindam palsu kepada rakyat. Di Johor banyak dipaparkan di tepi-tepi jalan oleh BN senarai perbandingan harga barangan makanan antara negara kita dengan Singapura, Thailand dan lain-lain. Ambil contoh dipaparkan harga gandum di Malaysia ialah RM1.35. Terkejut beruk isteri saya baca kenyataan tu.... kedai mana pulak jual gandum dengan harga macam tu punya murah. Tak sampai satu kilometer dari papan tanda harga tu ada beberapa buah kedai runcit yang menjual gandum dengan harga RM2.30 hingga RM2.50 sekilo. Saya kata kat isteri saya : gandum yang dah expired kut?

Nasihat ikhlas dari saya kakitangan kerajaan kepada parti UMNO/BN.... tolonglah jangan perbodoh kami, rakyat jelata nih. Walaupun ada YB UMNO yang kononnya juara cakap kat Parlimen pernah berkata bahawa orang Universiti tu goblok bin jendul... goblok ke..jendul ke..kami masih ada otak untuk berfikir dan memilih mana yang betul mana yang salah. Keangkuhan dan suka menganggap orang yang tidak menyokong mereka sebagai bodoh, tidak tahu bersyukur, tidak sokong ketuanan Melayu dan berbagai lagi, yang menjadi wirid sebilangan besar para pimpinan UMNO pada hamba rakyat, sebenarnya adalah faktor utama kebencian rakyat kepada mereka.

Saturday, May 3, 2008

Kepimpinan : catatan satu

Beberapa tahun yang lalu, saya berkesempatan mengikuti satu sesi ceramah berkaitan kepimpinan yang disampaikan oleh W. James McNerney, CEO The Boeing Company. Ada tiga leadership fundamentals yang ditekankan oleh tokoh korporat tersebut yang saya kira elok kalau saya ketengahkan dalam catatan ini untuk renungan kita bersama.

Tiga asas kepimpinan yang dibangkitkan dalam ceramah tersebut ialah berkaitan dengan adaptability, versatility dan non-stop learning. Apa yang beliau maksudkan dengan adaptability, ialah keupayaan pemimpin itu mengadaptasikan atau menyesuaikan diri dan kepimpinan mereka dalam apa situasi sekalipun. Dalam ertikata lain, pemimpin itu harus relevan dalam konteks kepemimpinan mereka dalam mendepani apa sahaja rupabentuk persekitaran yang melingkari diri maupun organisasi. Peminpin perlu relevan dalam apa jua keadaan maupun persekitaran yang mendatang. Pemimpin perlu relevan dari aspek keilmuan dan kompetensi, perkembangan pemikiran dan sosio-politik, perubahan pengurusan dan kehendak khalayak ramai, dan sebagainya lagi. Sesuatu yang tidak relevan pastinya akan ditinggalkan oleh keadaan. Secara otomatis, saya kira jika kepimpinan itu tidak mampu merelevankan diri mereka dengan persekitaran yang ujud, kepimpinan tersebut pasti gagal dan kecundang.

Asas kedua ialah versatility atau memiliki kompetensi atau kecekapan dalam pelbagai bidang. Kepimpinan hari ini tidak akan mampu merelevankan diri dengan perkembangan pesat semasa, apatah lagi untuk melangkau masa depan dan global, tanpa memiliki kecekapan dan profesionalisme yang pelbagai dan meliputi kepelbagaian kecekapan yang diperlukan oleh seorang pemimpin. Pemimpin bukan sekadar pengarah atau pengurus organisasi yang nafasnya dibantu semata-mata oleh kedudukannya, peraturan atau polisi organisasi. Pemimpin adalah pemikir strategic yang mampu menyuntik kesedaran, inspirasi dan keyakinan para pengikut sehingga mereka bersedia untuk menyerahkan seluruh pengorbanan mereka kepada kepimpinan. Pemimpin yang jumud dan kaku, yang hanya beretorika dengan kemegahan nostalgia silam, tanpa kemampuan mengagas hari mendatang, pemimpin jenis ini selalunya berakhir riwayatnya di muzium sebelum ajal sebenarnya menjelang.

Asas ketiga ialah non-stop learning atau budaya pembelajaran tanpa henti dan berterusan.
Rasulullah saw pernah menyebut : Seseorang yang hari ininya lebih baik dari semalam, ia seorang yang beruntung. Jika hari ininya sama seperti semalam ia seorang yang rugi. Dan jika hari semalamnya lebih baik dari hari ini, maka ia seorang yang celaka. (Bukhari)

Pemimpin perlu menjelmakan dirinya sebagai individu yang beruntung. Perlu wujud dalam hidup mereka budaya peningkatan prestasi yang berterusan. Bagaimana budaya dan pencapaian prestasi ini boleh dicapai jika usaha atau inisiatif meningkatkan ilmu dan pengetahuan tidak dijadikan agenda bertindak yang utama dalam hidup para pemimpin. Ilmu dan pengetahuan adalah elemen penting yang akan menjana kompetensi dan profesionalisme dan sekaligus membentuk versatility kepimpinan dan bakal meletakkan mereka dalam garis relevancy atau adaptability sesuatu kepimpinan itu sendiri.