Sunday, March 30, 2008

Naqib

Sifat dan Peranan Naqib


Sifat-Sifat dan Akhlaq Naqib


Naqib merupakan tenaga penting dalam menjayakan sesebuah usrah. Kualiti usrah samada dari aspek keberkesanan pengisian, pemahaman dan penghayatan rukun-rukun usrah serta kemampuan melahirkan kader-kader jamaah banyak bergantung kepada sumbangan dan kemampuan naqib itu sendiri. Justeru itu unsur-unsur penting yang mampu memperkuatkan para naqib perlu diberi perhatian oleh jamaah dan lebih penting oleh para naqib itu sendiri. Di antara unsur kekuatan yang perlu difahami dan dihayati oleh para naqib ialah yang berkaitan dengan akhlak, sifat-sifat dan budaya yang perlu ada pada seseorang naqib.

Sifat-Sifat Fitriyyah

1. Kecerdasan aqliyyah. Memiliki daya intelektual yang mantap. Kemampuan membuat perancangan, penilaian, perbandingan dan pemilihan yang tepat. Berfikiran kritis, kreatif dan inovatif. Kemampuan membuat keputusan dan penyelesaian masalah. Berbudaya objektif. Kemampuan membuat analisa dan memetakan masalah. Memahami dengan baik kebenaran dan kekeliruan.
2. Kecerdasan spritual. Kekuatan iman dan bersihnya aqidah dari daki-daki khurafat, kebekuan dan berbagai kebatilan. Memiliki kesadaran intuasi dan perasaan atas kebenaran. Bangga dengan Islam dan apa yang diperjuangkan dan berkemahuan tinggi. Mencintai dan merasa lazat dalam melaksana tanggungjawab dan peranan dalam perjuangan. Memberi perhatian yang berat kepada ibadah dan hubungan dengan Allah. Sensitif terhadap kebenaran dan kebatilan.
3. Kecerdasan sosial. Budaya kepimpinan yang trampil. Lemah lembut dan tawadhu’ terhadap orang lain. Akrab dan cinta kepada manusia. Sabar dan kesediaan berkorban. Berakhlaq al-Quran.

Sifat-Sifat Muktasabah

1. Keilmuan Islam. Memahami secara benar asas-asas Islam dan Iman. Mengenal dengan baik al-Quran dan as-Sunnah. Menguasai sirah Rasullullah saw dan sejarah hidup para sahabat yang utama. Memahami dengan baik Fiqh Islam. Memahami asas-asas pemikiran dan mazhab-mazhab Islam. Memahami sejarah tamadun dan umat Islam. Memahami realiti dan keadaan umat Islam dan negara-negara Islam kontemporari. Mengenal sejarah dan kedudukan gerakan-gerakan Islam tempatan dan antarabangsa.
2. Kefahaman Dakwah. Memahami dengan baik jalan dakwah dan matlamat yang diserukan. Memahami secara baik manhaj dan pendekatan dakwah. Memahami prasyarat persiapan seorang da’i dan sifat-sifat da’i.
3. Kefahaman Haraki. Mengenal Jamaah dengan baik. Memahami manhaj dan organisasi Jamaah.
4. Kefahaman Umum. Mengenal aliran politik, ekonomi dan pemikiran-pemikiran arus perdana tempatan dan dunia. Mengenal pemikiran dan strategi-strategi musuh Islam. Mengenal konsep-konsep pengurusan dan kepimpinan global.



Peranan Dan Tanggungjawab Naqib


Qudwah yang baik. Menjadi contoh yang baik untuk ikutan ahli usrah dalam iman, ibadah, akhlaq dan budaya kehidupan yang lain.

Menghubungkan ahli usrah kepada Islam. Menghubungkan ahli usrah kepada Islam, fiqrah, jamaah dan manhaj perjuangan, bukan kepada dirinya sendiri secara individu.

Menanam kefahaman yang kukuh dan sahih. Menanam kefahaman yang sahih dan kukuh tentang prinsip-prinsip Islam dan perjuangan dan persoalan-persoalan kehidupan kepada ahli usrah.

Menyuburkan mahabbah dalam usrah. Menanam dan membuahkan rasa mahabah dan ukhuwah yang tinggi di kalangan ahli usrah.

Mengenal potensi ahli usrah. Mengenal dan mencungkil bakat dan potensi yang ada pada setiap ahli usrah. Membangun dan mengembangkan lagi bakat dan potensi tersebut dan menyalur untuk perjuangan.

Membaiki kekurangan dan kelemahan. Berusaha untuk membaiki sebarang bentuk kekurangan dan kelemahan yang ada dalam usrah dan di kalangan ahli usrah.

Membantu ahli usrah. Membantu dan menghulurkan tangan untuk membantu apa jua keperluan yang perlu dalam usrah.

Mencipta ruang diskusi dan muhasabah. Membentuk suasana perbincangan dan muhasabah yang baik dalam usrah. Ahli usrah bukan fotokopi naqib usrah.

Mendidik ahli usrah. Antaranya memahamkan ahli tentang kepenggunaan waktu dan masa terluang dalam hidup mereka untuk kebaikan.

Menjadi orang tengah Jamaah. Naqib berperanan sebagai perantara ahli Jamaah dengan kepimpinan dan fiqrah Jamaah.


Usrah Nuqaba IPI Jan 2008

Cabaran Islam Liberal

Ancaman Islam Liberal


Pendahuluan

Istilah Islam Liberal dipopularkan oleh sekelompok aktivis di Indonesia melalui satu jaringan kerjasama di antara para pendukung aliran ini yang dinamakan Jaringan Islam Liberal. Pada asalnya istilah itu mula diperkenalkan oleh Leonard Binder dalam bukunya Islamic Liberalism : critique of development ideologies, terbitan tahun 1988. Pada tahun 1995, Greg Barton menulis sebuah buku dengan tajuk The Emergence of neo-modernism : a progressive, liberal movement of Islamic thought. Buku ini mengupas tentang pemikiran para tokoh Islam Liberal Indonesia seperti Nurcholis Madjid, Djohan Affandi dan Abdurrahman Wahid. Di Indonesia, aliran ini secara terbuka mendedahkan diri mereka Islam Liberal. Namun di Malaysia, pendukung aliran ini tidak bertindak menampilkan diri mereka sebagai Islam Liberal secara terbuka, namun berdolak-dalik dengan berselindung di sebalik istilah-istilah Islam yang lain, walaupun pada hakikatnya teras pemikiran mereka adalah selari dengan asas-asas pemikiran aliran Islam Liberal yang telah dikenali ramai. Syed Akhbar Ali menafikan dirinya berada pada aliran Islam Liberal dengan menyatakan Just for the record, I would like to declare that I am a hardcore, conservative, fundamentalist Muslim. Walaupun umum telah mengetahui melalui penulisan-penulisannya berkaitan Islam secara jelas mendukung aliran Islam Liberal. Malah tanpa malu dia menuduh indeed it is the religious scholars who are the real liberalist, not me. (Syed Akhbar Ali : 2006)

Antara tokoh-tokoh aliran Islam Liberal atau neo-modenisme di Malaysia ialah, Zainah Anwar, Kassim Ahmad, Farish A Noor dan Akhbar Ali. Nama-nama lain di peringkat antarabangsa ialah Mohamad Arkoun, Ameenah Wadud, Nurchalis Madjid, Geonawan Mohamad dan lain-lain ( Dr Fauzi Deraman : 2006)


Isu-Isu Pokok Pemikiran Islam Liberal


al-Quran Edisi Baru

Islam Liberal membentuk agenda untuk mengedit al-Quran secara kritikal dengan menimbulkan persoalan dan keraguan berkaitan dengan sejarah pembukuan al-Quran dan berbagai ragam (qiraat) bacaan al-Quran. Seorang tokoh Islam Liberal Indonesia Taufiq Adnan Amal, pensyarah ulumul Quran IAIN Makasar menyatakan Keyakinan semacam itu (keimanan umat Islam terhadap ketulenan al-Quran sebagai Wahyu Allah) sesungguhnya lebih merupakan formulasi dan angan-angan teologis yang dibuat oleh para ulama’ sebagai sebahgian dari formulasi doktrin-doktrin Islam… Hakikat dan sejarah penulisan al-Quran penuh dengan nuansa yang rumit dan tidak sunyi dari perdebatan, pertentangan, tipu daya dan rekayasa.


Aliran Liberal melalui tokohnya seperti Nasir Hamid Abu Zaid, seorang penulis Mesir, memperkenalkan pendekatan Hermeneutika yang bertujuan untuk merubah orientasi tafsir sediaada kepada format yang sama dengan tafsir bible yang digunakan oleh Kristian. Apabila hermeneutika diterapkan pada al-Quran, maka teks-teks dan ayat-ayat al-Quran akan dipertanyakan dahulu kebenarannya; betulkan ia Kalamullah, bukankah ia telah bercampur dengan kata-kata manusia, apakah Tuhan bercakap dengan bahasa arab, apakah al-Quran sesuai dengan peredaran masa dan bersifat saintifik, dan berbagai lagi persoalan yang boleh mengugat keyakinan umat Islam terhadap al-Quran.

Aliran Liberal akan merujuk kepada Quran dengan mengambil nas berdasarkan tafsiran dan takwilan menurut metodologi mereka dengan membelakangkan semua disiplin ilmu al-Quran yang telah disepakati oleh ulama’ Islam sepanjang zaman.


Pluralisme Agama

Di sisi Allah agama atau ad-Din hanya satu iaitu Islam. Aliran Liberal Islam membawa faham semua agama adalah sama. Dr Nurchalis Madjid dalam tulisannya membawa hujah faham pluralisme agama ini dengan menyalahgunakan makna perkataan Islam atau aslama yang membawa maksud penyerahan diri kepada Tuhan (Allah). Bagi beliau sesiapa yang menyerahkan diri (aslama) kepada Tuhan, maka mereka adalah Islam, tanpa mengira agama apa yang mereka anuti.

Dr Alwi Shihab, seorang tokoh pluralis agama dalam bukunya Islam Inklusif menyebutkan …pluralisme agama adalah kerukunan penting demi wujudnya keharmonian hidup masyarakat beragama di Indonesia. Justeru, tidaklah wajar bagi seorang pluralis agama untuk mendakwa bahawa kebenaran (truth) hanya berada di sisi agamanya sahaja.

Usaha untuk menubuhkan IFC (Inter Faith Council) baru-baru ini adalah merupakan satu impak besar dukungan Islam Liberal untuk mengugat kedaulatan syariat dan martabat umat Islam sekaligus dilihat suatu usaha untuk menjayakan projek pluralisme agama.

Tujuan utama IFC ialah untuk menjadi sebuah suruhanjaya yang Sebagai sebuah badan berkanun ia mempunyai kuasa undang-undang bagi mengubah mana-mana agama (termasuk Islam) walaupun atas desakan penganut agama lain. Di bawah adalah antara tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh badan itu :

1. Seorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
2. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada asal agama mereka [murtad] dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang
3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah civil
4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seorang Muslim bahawa ia beragama islam
5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam dan orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam[murtad] sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang
6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak
7. Orang-orang yang bukan Islan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya
8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadah orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid
9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada mengguna perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya
10. Bible dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka
11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar disemua sekolah.
12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda suatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing
13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam



Sekularisme dan Penolakan Syariat Islam

Berkata Akhbar Ali … this credit ( kerana Turki diterima anggota EU) is largely due to Islamic reforms introduced by the great Islamic leader Mustafa Kamal Atarturk in the 1920s which saved Turkey from the collapse of the morally and meterially bankrupt Khalifah Uthmaniah. These reforms include the introduction of new legal system copied from the Swiss.

Aliran Liberal mengkagumi Mustafa Kamal dan mengelarkannya pemimpin besar Islam kerana melakukan reformasi Islam. Sedangkan sejarah membuktikan bahawa Mustafa Kamal adalah alat Yahudi dan Kristian untuk menjatuhkan Khilafah Uthmaniah dan membawa faham sekular dan nasionalis ke dalam jiwa umat Islam. Berdasar catatan sejarah, Mustafa Kamal pada tahun 1926 membatalkan undang-undang keluarga Islam, 1928 memansuhkan Islam sebagai agama resmi dan istihar Turki negara sekular, 1931 azan ditukar ke bahasa Turki dan 1935 menukarkan masjid Sofia menjadi sebuah muzium.

Berkata Akhbar Ali lagi … for thousand years the Muslim have been down in the dumps precisely because of too much influence of religion in their daily life…

Dua tokoh besar Islam Liberal yang amat tegar membela konsep sekularisma (pemisahan Islam dari pemerintahan) ialah Dr Norchalis Madjid dari Indonesia dan Dr Ali Abdul Raziq dari Mesir. Pandangan mereka ini jelas menjadi mata rantai dengan apa yang telah dimulakan oleh Mustafa Kamal di Turki, dan kini menjadi ikutan di kebanyakan negara umat Islam.

Aliran Liberal juga secara terang-terangan menentang pelaksanaan syariat Islam secara syumul dalam sesebuah negara umat Islam.


Feminisme

Isu-isu kontroversi yang ditimbulkan oleh Islam Liberal dalam usaha mereka kononnya ingin membebaskan wanita dari cengkaman Islam yang zalim terhadap wanita ialah :

1. Poligami adalah tidak sah dan mesti dinyatakan batal secara undang-undang
2. Perkhawinan yang berbeda agama mesti dikira sah
3. Masa iddah bukan hanya untuk wanita, tetapi juga bagi lelaki.
4. Isteri boleh juga menjatuhkan talak
5. Bahagian harta pusaka anak-anak lelaki dan anak-anak wanita adalah sama.

Pendukung kuat faham feminisme ini di Malaysia ialah Sisters In Islam yang turut mendukung gagasan IFC yang telah ditolak oleh Islam dan kerajaan.


Faktor-Faktor Membawa Kepada Faham Islam Liberal

1. Mengambil Islam dengan rujukan dari pemikiran orientalis dan pengikut-pengikut mereka yang memusuhi atau mempunyai tanggapan yang salah tentang Islam.
2. Kagum dan terpikat dengan pencapaian kebendaan dan budaya hidup barat melalui modenisme yang mereka anuti.
3. Salah faham tentang punca kemunduran umat Islam dan kerajaan-kerajaan Islam.
4. Tidak memahami Islam secara sahih, syamil dan lengkap.






Langkah-Langkah Pencegahan Faham Islam Liberal

1. Pemerintah di negara-negara umat Islam perlu bertindak tegas untuk menghalang penyebaran pemikiran Islam Liberal ini samada melalui pendidikan, penerangan dan perundangan.
2. Gerakan Islam dan NGO-NGO Islam perlu mengambil langkah menyekat faham ini dengan dakwah yang syamil dan tindakan-tindakan susulan yang lebih berkesan.
3. Umat Islam perlu melengkapkan diri mereka dengan kefahaman Islam tulen yang mantap dengan sumber rujukan yang muktabar. Di senaraikan sedikit sumber rujukan asas-asas ilmu Islam yang boleh membantu kita memahami Islam untuk menghadapi tohmahan Islam Liberal :

· Kajian al-Quran / Dr Subhi Salleh
· Kajian Ilmu Hadis / Dr Subhi Salleh
· Al-Quran dan as-Sunnah : referensi tertinggi umat Islam / Dr Yusuf al-Qaradhawy
· Iman dan Kehidupan / Dr Yusuf al-Qaradhawy
· Karekteristik Islam / Dr Yusuf al-Qaradhawy
· Fiqih Tajdid dan Shahwah Islamiyyah / Dr Yusuf al-Qaradhawy
· Fiqih Daulah / Dr Yusuf al-Qaradhawy
· Manusia dan Islam / Dr Harun Din
· Islam : Fiqrah, Harakah dan Daulah / Us Abdul Hadi Awang
· Sirah Nabawiyyah / Said Ramadhan al-Buthi
· Siapa Thoghut / Hamdan Muhammad
· Jihad / Dr Muhammad Naeem Yassin


4. Mengabungkan diri bersama dengan Jama’atul Muslimin, al-Firqah an-Naajiyah, at-Tho’iffah al-Qaa’imah dan bernaung di bawah kepimpinan ulama’.












Penutup

Sesuai dengan motto faham Liberal Islam iaitu Islam yang Membebaskan, golongan ini mengunakan Islam untuk mencipta Islam baru yang sesuai dengan pemikiran dan nafsu mereka. Mereka merombak seluruh struktur disiplin keilmuan Islam yang telah diteguhkan oleh Rasulullah saw, para sahabat dan para alim ulama’ Islam di sepanjang zaman semata-mata kerana taksub dengan pemikiran-pemikiran yang bermuara dari akal dan niat jahat para orientalis barat untuk menghancurkan Islam dan menjajah umatnya. Mereka bebaskan Islam dari strukturnya yang kukuh dan sahih lalu membina Islam sesuai dengan kehendak orientalis Barat yang berniat jahat terhadap Islam tanpa dasar dan hujah yang kukuh. Bahaya yang menimpa umat Islam sekarang ini ialah apabila pemikiran Islam Liberal ini meresap secara perlahan dan sedikit demi sedikit tanpa disedari dan lebih merbahaya, ia juga bertopengkan Islam.







Rujukan

Isu-Isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal : kes Indonesia dan pengajarannya untuk Malaysia / Dr Ugi Oleh Suharto. UIA, 2006
Islam Liberal : tafsiran agama yang kian terpesong / Dr Fauzi Deraman. Kuala Lumpur, 2006
Lapuran Sekretariat ACCIN. Kuala Lumpur: ABIM, 2007
Lapuran Akhbar Tempatan dan Laman Web.
Buku-buku tulisan tokoh dan pengikut Islam Liberal.

KPI Kelab Iqra Jan 2008

Kepentingan Jamaah

Konsep Jamaah dan Tuntutan Amal Jama’ie

Pengertian menurut bahasa

Ibnu Manzhur dalam Lisanul Arab mendefinasikan jamaah menurut bahasa sebagai ‘menyatukan sesuatu yang tercerai berai’. Manakala Raghib Ashfahani dalam al-Mufrad menyatakan ‘menyatukan sesuatu dengan mendekatkan satu bahagian dengan bahagian yang lain’.

Pengertian menurut istilah

Dr Sholah as Showi merumuskan dalam kitabnya bahawa Jamaah menurut istilah dapat disimpulkan kepada dua pengertian yang berikut :

Jamaah merupakan kumpulan para ulama’ di kalangan ahlus sunnah yang bersepakat diatas tunggak kebenaran di sepanjang tiga kurun yang mulia. Pada setiap zaman, panji kebenaran tersebut akan sentiasa dibawa oleh para tokoh ulama’ sunnah yang tsiqah di mana mereka merupakan as sawadul azam yang menjadi ikutan masyarakat awam Islam.
Jamaah merupakan umat Islam yang sepakat melantik dan mentaati seorang imam atau khalifah selagimana para pemimpin tersebut melaksanakan tuntutan Islam secara umumnya.


Konsep al-Jamaah

Jamaah al Muslimin.

Huzaifah al-Yamani berkata, ‘Orang ramai telah bertanya Rasulullah saw tentang kebaikan, sedangkan aku bertanya tentang kejahatan, kerana bimbang ia akan menimpaku, lalu aku berkata : ‘Wahai Rasulullah saw, sesungguhnya kami dahulu berada dalam jahilliyah dan kejahatan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini (Islam), apakah selepas kebaikan ini akan timbul kejahatan pula. Baginda saw menjawab : Ya. Aku berkata, apakah selepas kejahatan itu akan timbul kebaikan pula? Baginda saw bersabda : Ya, dan terdapat pada kebaikan itu kecacatan. Aku berkata, apakah kecacatan itu? Baginda bersabda, suatu kaum yang berhidayahkan bukan dengan hidayahku, engkau kenal mereka dan engkau akan ingkari. Aku berkata, apakah selepas kebaikan itu ada kejahatan? Baginda bersabda, Ya. Iaitu para penyeru ke pintu neraka jahanam. Barangsiapa yang menyahut seruan mereka ke neraka makan mereka akan melontarnya ke dalam neraka jahanam. Aku berkata, ya Rasulullah saw ceritakanlah sifat-sifat mereka kepada kami? Lalu baginda bersabda : mereka dari keturunan kita dan bercakap dengan bahasa kita. Aku berkata, apakah yang engkau perintahkan aku jika hal itu menimpaku? Baginda saw bersabda : Engkau hendaklah melazimi jamaatul Muslimin dan Imam mereka. Aku berkata, jika tidak ada jamaah dan imam mereka? Baginda saw bersabda : Jauhilah puak-puak tersebut, walaupun engkau terpaksa berpaut pada akar pokok sehinggalah kamu mati dalam keadaan begitu’
(al-Bukhari)

Bersabda Rasulullah saw : Barangsiapa yang keluar dari ketaatan ( kepada pemimpin kaum Muslimin ) dan meninggalkan Jamaah, lalu mati, maka ia mati dalam jahiliyyah. (Muslim)

i. Iltizam dengan jamaatul Muslimin (yang bersatu di atas tunggak kebenaran Islam)
ii. Mentaati kepimpinan Islam
iii. Celaan terhadap mereka yang tidak mentaati kepimpinan Islam dan memisahkan diri dari jamaatul Muslimin.



2. al-Firqah an-Naajiyyah

Rasulullah saw bersabda: sesungguhnya bani Israel telah berpecah kepada 72 millah, dan umat ku akan berpecah kepada 73 millah. Semuanya masuk neraka kecuali satu. Lalu mereka berkata : siapa mereka itu yang Rasulullah saw? Baginda bersabda : Iaitu mereka yang berada di atas sunnahku dan sunnah para sahabatku ( Turmuzi)

Walaupun ada ulama yang mempersoalkan kesahihan hadis ini, namum Imam Ibnu Hajar menganggap hadis ini bertaraf sahih. Ini diperakui oleh kajian yang dibuat oleh PM Dr Udah Mohsein dari UKM. Dr Imarah dalam tulisannya ‘Tayyarrat al fikr al Islami’ menyebutkan : makna 73 golongan dalam hadis tersebut adalah membawa maksud banyak (al-kathrah) bukan (tahdid) merujuk kepada bilangan tertentu.

i. Berpegang dengan manhaj Sunnah Rasulullah.
ii. Berpegang dengan manhaj para sahabat dan salafus soleh.
iii. Berpegang kepada para ulama yang muktabar (ahlus sunnah wal jamaah)


at-Thoifah al- Qaaimah


Bersabda Rasulullah saw : Selama-lamanya akan ada suatu jamaah (thoifah) di kalangan umatku yang bangkit menegakkan urusan Allah (Islam). Mereka tidak akan dimudhratkan oleh orang yang menghina mereka atau menentang mereka, sehinggalah datang perintah Allah, sedangkan mereka menegakkan agama Allah di kalangan manusia. (Muslim)


Imam an Nawawi menjelaskan : Kemungkinan bahawa thoifah ini bertebaran di kalangan umat Islam, di kalangan mereka ada mujahid yang gagah berani, ada fuqaha, ada muhadis, ada ahli zuhud, ada yang menyeru kepada al-amr bil maaruf an nahyu al mungkar, dan berbagai-bagai kelompok lain dan tidaklah semestinya mereka berkumpul pada suatu masa dan tempat. Bahkan kemungkinan mereka bertebaran di segenap pelusuk bumi.

Antara ciri-ciri asas at-Toifah al-Qaaimah :

i. Mendukung manhaj ahlus sunnah wal jamaah
ii. Kepimpinan Ulama’
iii. Tajdid yang menyeluruh dan lengkap
iv. Bersifat hizbullah


Tuntutan Berjamaah Dalam Menegakkan Islam

Menjadi tabiat sesuatu perjuangan dalam kehidupan manusia ianya tidak dapat ditegakkan dengan sempurna melainkan dilakukan secara berjamaah atau berkumpulan.

Friman Allah : Dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai … ( Ali Imran 103 )

Firman Allah : Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu ummah (kumpulan/jamaah) yang menyeru kepada kebajikan (kebenaran Islam) dan memerintahkan berbuat maaruf dan mencegah kemungkaran. Dan mereka yang bersifat demikian adalah orang yang berjaya (Ali Imran 104)

Firman Allah : Dan orang-orang kafir sebahgian mereka menjadi penyokong (penolong dan pembela) kepada sebahgian yang lain. Jika kamu (orang Islam) tidak menjalankan (dasar bantu membantu sesama sendiri seperti diperintah Allah) itu, niscaya akan berlaku fitnah dan kerosakan yang besar di bumi (al-Anfal 73)

Firman Allah : Dan bertolong-tolonglah kamu untuk membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan (al-Maidah 2)

Bersabda Rasulullah saw : Hendaklah kamu bersama jamaah, jangan kamu berpecah belah. (Ahmad dan Turmuzi)

Ciri-ciri jamaah yang menepati dengan keperluan untuk menegakkan perjuangan Islam seharusnya lah menepati dengan ciri-ciri asas at-Thoifah al-Qaaimah.

Feb 2008 Liqa IPI Ahli Baru