Sunday, March 30, 2008

Kepentingan Jamaah

Konsep Jamaah dan Tuntutan Amal Jama’ie

Pengertian menurut bahasa

Ibnu Manzhur dalam Lisanul Arab mendefinasikan jamaah menurut bahasa sebagai ‘menyatukan sesuatu yang tercerai berai’. Manakala Raghib Ashfahani dalam al-Mufrad menyatakan ‘menyatukan sesuatu dengan mendekatkan satu bahagian dengan bahagian yang lain’.

Pengertian menurut istilah

Dr Sholah as Showi merumuskan dalam kitabnya bahawa Jamaah menurut istilah dapat disimpulkan kepada dua pengertian yang berikut :

Jamaah merupakan kumpulan para ulama’ di kalangan ahlus sunnah yang bersepakat diatas tunggak kebenaran di sepanjang tiga kurun yang mulia. Pada setiap zaman, panji kebenaran tersebut akan sentiasa dibawa oleh para tokoh ulama’ sunnah yang tsiqah di mana mereka merupakan as sawadul azam yang menjadi ikutan masyarakat awam Islam.
Jamaah merupakan umat Islam yang sepakat melantik dan mentaati seorang imam atau khalifah selagimana para pemimpin tersebut melaksanakan tuntutan Islam secara umumnya.


Konsep al-Jamaah

Jamaah al Muslimin.

Huzaifah al-Yamani berkata, ‘Orang ramai telah bertanya Rasulullah saw tentang kebaikan, sedangkan aku bertanya tentang kejahatan, kerana bimbang ia akan menimpaku, lalu aku berkata : ‘Wahai Rasulullah saw, sesungguhnya kami dahulu berada dalam jahilliyah dan kejahatan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini (Islam), apakah selepas kebaikan ini akan timbul kejahatan pula. Baginda saw menjawab : Ya. Aku berkata, apakah selepas kejahatan itu akan timbul kebaikan pula? Baginda saw bersabda : Ya, dan terdapat pada kebaikan itu kecacatan. Aku berkata, apakah kecacatan itu? Baginda bersabda, suatu kaum yang berhidayahkan bukan dengan hidayahku, engkau kenal mereka dan engkau akan ingkari. Aku berkata, apakah selepas kebaikan itu ada kejahatan? Baginda bersabda, Ya. Iaitu para penyeru ke pintu neraka jahanam. Barangsiapa yang menyahut seruan mereka ke neraka makan mereka akan melontarnya ke dalam neraka jahanam. Aku berkata, ya Rasulullah saw ceritakanlah sifat-sifat mereka kepada kami? Lalu baginda bersabda : mereka dari keturunan kita dan bercakap dengan bahasa kita. Aku berkata, apakah yang engkau perintahkan aku jika hal itu menimpaku? Baginda saw bersabda : Engkau hendaklah melazimi jamaatul Muslimin dan Imam mereka. Aku berkata, jika tidak ada jamaah dan imam mereka? Baginda saw bersabda : Jauhilah puak-puak tersebut, walaupun engkau terpaksa berpaut pada akar pokok sehinggalah kamu mati dalam keadaan begitu’
(al-Bukhari)

Bersabda Rasulullah saw : Barangsiapa yang keluar dari ketaatan ( kepada pemimpin kaum Muslimin ) dan meninggalkan Jamaah, lalu mati, maka ia mati dalam jahiliyyah. (Muslim)

i. Iltizam dengan jamaatul Muslimin (yang bersatu di atas tunggak kebenaran Islam)
ii. Mentaati kepimpinan Islam
iii. Celaan terhadap mereka yang tidak mentaati kepimpinan Islam dan memisahkan diri dari jamaatul Muslimin.



2. al-Firqah an-Naajiyyah

Rasulullah saw bersabda: sesungguhnya bani Israel telah berpecah kepada 72 millah, dan umat ku akan berpecah kepada 73 millah. Semuanya masuk neraka kecuali satu. Lalu mereka berkata : siapa mereka itu yang Rasulullah saw? Baginda bersabda : Iaitu mereka yang berada di atas sunnahku dan sunnah para sahabatku ( Turmuzi)

Walaupun ada ulama yang mempersoalkan kesahihan hadis ini, namum Imam Ibnu Hajar menganggap hadis ini bertaraf sahih. Ini diperakui oleh kajian yang dibuat oleh PM Dr Udah Mohsein dari UKM. Dr Imarah dalam tulisannya ‘Tayyarrat al fikr al Islami’ menyebutkan : makna 73 golongan dalam hadis tersebut adalah membawa maksud banyak (al-kathrah) bukan (tahdid) merujuk kepada bilangan tertentu.

i. Berpegang dengan manhaj Sunnah Rasulullah.
ii. Berpegang dengan manhaj para sahabat dan salafus soleh.
iii. Berpegang kepada para ulama yang muktabar (ahlus sunnah wal jamaah)


at-Thoifah al- Qaaimah


Bersabda Rasulullah saw : Selama-lamanya akan ada suatu jamaah (thoifah) di kalangan umatku yang bangkit menegakkan urusan Allah (Islam). Mereka tidak akan dimudhratkan oleh orang yang menghina mereka atau menentang mereka, sehinggalah datang perintah Allah, sedangkan mereka menegakkan agama Allah di kalangan manusia. (Muslim)


Imam an Nawawi menjelaskan : Kemungkinan bahawa thoifah ini bertebaran di kalangan umat Islam, di kalangan mereka ada mujahid yang gagah berani, ada fuqaha, ada muhadis, ada ahli zuhud, ada yang menyeru kepada al-amr bil maaruf an nahyu al mungkar, dan berbagai-bagai kelompok lain dan tidaklah semestinya mereka berkumpul pada suatu masa dan tempat. Bahkan kemungkinan mereka bertebaran di segenap pelusuk bumi.

Antara ciri-ciri asas at-Toifah al-Qaaimah :

i. Mendukung manhaj ahlus sunnah wal jamaah
ii. Kepimpinan Ulama’
iii. Tajdid yang menyeluruh dan lengkap
iv. Bersifat hizbullah


Tuntutan Berjamaah Dalam Menegakkan Islam

Menjadi tabiat sesuatu perjuangan dalam kehidupan manusia ianya tidak dapat ditegakkan dengan sempurna melainkan dilakukan secara berjamaah atau berkumpulan.

Friman Allah : Dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai … ( Ali Imran 103 )

Firman Allah : Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu ummah (kumpulan/jamaah) yang menyeru kepada kebajikan (kebenaran Islam) dan memerintahkan berbuat maaruf dan mencegah kemungkaran. Dan mereka yang bersifat demikian adalah orang yang berjaya (Ali Imran 104)

Firman Allah : Dan orang-orang kafir sebahgian mereka menjadi penyokong (penolong dan pembela) kepada sebahgian yang lain. Jika kamu (orang Islam) tidak menjalankan (dasar bantu membantu sesama sendiri seperti diperintah Allah) itu, niscaya akan berlaku fitnah dan kerosakan yang besar di bumi (al-Anfal 73)

Firman Allah : Dan bertolong-tolonglah kamu untuk membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan (al-Maidah 2)

Bersabda Rasulullah saw : Hendaklah kamu bersama jamaah, jangan kamu berpecah belah. (Ahmad dan Turmuzi)

Ciri-ciri jamaah yang menepati dengan keperluan untuk menegakkan perjuangan Islam seharusnya lah menepati dengan ciri-ciri asas at-Thoifah al-Qaaimah.

Feb 2008 Liqa IPI Ahli Baru

No comments: