Thursday, February 21, 2008

Penyusunan Organisasi : Masjid

Penyusunan dan Pengukuhan Organisasi : mengutip pengajaran dari sirah Rasulullah (siri II)

Kedua : Pembinaan Masjid : Markaz Tarbiyyah dan Siyyasah

Para skolar Islam merumuskan bahawa fungsi masjid dalam sejarah pembinaan masyarakat Islam amat besar dan luas. Ia merangkumi fungsi sebagai pusat pendidikan spritual dan akhlak, paksi pengabdian diri kepada Rabb, pusat pentadbiran siyyasah dan ijtimaiyyah, pusat pengadilan, pusat perhubungan diplomatic dan sebagainya. Dalam konteks tajuk yang kecil ini, barangkali ruh atau intisari kepentingan masjid itu yang sesuai untuk dikutip bagi memperlengkapkan usaha pembinaan sesebuah organisasi. Ruh masjid bolehlah dirumus kepada dua perkara pokok. Pertama, pembinaan nilai spritual, yang merangkumi aspek penekanan pengabdian diri yang total kepada Allah dan kedua, menjadi pusat atau markaz pembinaan budaya social atau social culture. Dua aspek ini amat penting terbina dalam organisasi. Batu bata yang diadun dengan nilai spritual yang tinggi dan budaya social yang ampuh pasti menjelma sebagai batu bata berkualiti cemerlang dan bakal mengukuhkan bangunan dan mampu bertahan menghadang apa jua cabaran yang mendatang. Justeru itu, pemakmuran masjid sebenarnya adalah salah satu kayu ukur yang penting dalam menilai ketrampilan nilai spritual dan budaya social yang unggul dalam sesebuah masyarakat atau warga organisasi.

Nilai-nilai spiritual yang antaranya dibina melalui peranan masjid :

i. Pengagungan dan pengabdian diri yang total kepada Allah. Pengagungan dan pengabdian diri yang total kepada Allah sekaligus membawa kepada penafian diri dan jiwa terhadap ubudiyyah kepada yang lain selain dari Allah. Zahirnya dalam diri penghayatan al-wala’ (ketaatan, ketundukan, kecintaan dan kerinduan) dan al-bara’ (keingakaran, kebencian dan penentangan). Al-wala’ terhadap Allah dan al-wala’ terhadap thoghut.

Firman Allah yang bermakssud : Barangsiapa yang ingkar kepada thoghut dan beriman kepada Allah, sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali yang kukuh, yang tidak akan putus selamanya. (al-Baqarah)

ii. Mengembalikan urusan kepada Allah. Fungsi masjid antaranya adalah menghidupkan program solat berjamaah lima waktu. Solat merupakan tawajuh dan munajat hamba kepada Rabbnya. Tawajuh memberi makna pernyataan kerendahan diri dan bakti kepada Allah. Munajat antaranya bermakna kepasrahan diri yang kerdil mengharap limpahan keagungan dan kemuliaan Allah. Saban ketika masjid mengamit seseorang hamba untuk dating bersembah sujud menyerah kelemahan diri dan amal bakti dan dalam masa yang sama penuh pasrah terhadap keadilan dan rahmat kasih saying Allah. Saban hari manusia muslim mukmin melalui rutin pengabdian diri seperti itu untuk mencapai kemantapan spritual mereka. Betapa lemah manapun seseorang manusia itu, jika ia menyandarkan harapan dan hari depannya di sisi Allah yang Maha Besar, nescaya ia akan beroleh kekuatan diri. Bila sedar diri disayangi, langkah kaki akan bertambah berani dan mantap.

Firman Allah yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk (al-Bayyinah : 6)

Firman Allah : Dan kekuatan itu adalah milik Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman (al-Munafiqun : 8)

Firman Allah : Dan janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (kedudukan), jika kamu orang-orang yang beriman (Ali-Imran : 139)

iii. Pengukuhan taqwa. Taqwa antara lain membawa maksud budaya keperihatinan terhadap setiap amalan diri agar ianya tidak melanggar perintah Allah. Budaya mengimarahkan masjid akan mencetuskan budaya muhasah diri yang amat efektif untuk menjana keperihatinan diri terhadap Allah. Lima kali sehari kita melangkah kaki menjejaki rumah Allah, untuk bertawajuh dan bermunajat kepada Rabb al Jalil, sudah pasti setiap kali menjejaki rumah Allah itu, kita akan sentiasa memastikan jiwa kita sentiasa bersih dan suci.

Firman Allah yang bermaksud : maka bertaqwalah kamu kepada Allah seupaya kemampuan kamu, dengarlah dan patuhlah (at-Thoghabun : 16)

Bersabda Rasullullah saw : Jagalah diri kamu dari neraka, walaupun hanya dengan sebiji kurma (Muntafaq ‘alaih)

Tazkirah Senat 2003

Penyusunan Organisasi : Sorotan Sirah Rasulullah saw.

Firman Allah dalam surah as-Saff yang bermaksud : Sesungguhnya Allah menyintai orang-orang yang apabila mereka berjuang pada jalan Allah, maka mereka berada dalam susunan (organisasi) yang tersusun, seumpama batu-bata sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Dua aspek penting pengajaran dari ayat ini ialah, pertama tuntutan Allah betapa perlunya penyusunan kerja yang rapi dan kukuh, ibarat batu bata yang tersusun rapi yang menjadi tunggak kepada keutuhan sesebuah bangunan. Kedua, Allah akan menumpahkan curahan kasih sayangNya kepada mereka yang memposisikan diri mereka ibarat batu batu yang tersususn yang memperkukuhkan sesebuah bangunan.

Batu bata yang tersusun rapi merupakan paksi kepada tertegaknya bangunan yang teguh dan kukuh. Peranan batu batu amat penting, meskipun secara tersendiri, batu bata hanyalah ketulan batu yang tidak menampakkan apa-apa gambaran sebuah bangunan, tetapi apabila batu bata yang kecil itu disusun dengan baik, maka tertegak sebuah bangunan. Hakikatnya, bukan sahaja batu bata itu perlu disusun secara rapi dan kukuh, malah kualiti batu bata itu sendiri pun mestilah teruji. Bangunan boleh rebah atau cacat, bukan hanya kerana penyusunan tidak rapi, malah malapetaka boleh menimpa jika batu bata itu sendiripun rapuh atau rosak.

Firman Allah dalam ayat yang terdahulu dari ayat di atas, memperlihatkan pentingnya kualiti batu bata. Firman Allah yang bermaksud : Wahai oang yang telah beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak perbuat ? Besarlah kebencian Allah kepada orang yang berkata tetapi tidak melaksanakannya.

Ayat ini antara lain menekankan pentingnya pengislahan peringkat individu. Individu yang berposisi seperti batu bata dalam organisasi perlu meningkatkan kualiti diri. Antaranya ialah jangan hanya beridealisme atau berkata kata, malah setiap idealisme itu hendaklah dijelmakan dalam bentuk tindakan dan penghayatan.

Pembinaan Organisasi Negara Madinah : Sorotan Sirah

Dalam pembinaan organisasi besar, iaitu sebuah negara di Madinah atau Yatsrib, terdapat tiga prinsip teras yang diketengahkan oleh sunnah RasululLah saw. Beberapa pengiktibaran dari pembinaan ini sudah pasti dapat dimanfaatkan untuk teladan umat masakini dalam pembinaan oraganisasi di peringkat manapun. Prinsip-prinsip tersebut ialah :

Pertama : Ikatan persaudaraan Muhajirin dan Ansor

Mengukuhkan ikatan emosi, kejiwaan dan social di kalangan warga organisasi kenegaraan adalah teras penting dalam penyusunan saf yang kukuh. Begitu juga kalau ditinjau pada organisasi di peringkat-peringkat yang lain. Bagaimana mungkin sebuah organisasi itu tertegak kukuh seandainya wujud perpecahan, perbalahan dan persengketaan dari sudut emosi, jiwa dan social di kalangan warga organisasinya. Justeru itu ikatan mahabah dan ukhuwah tulin yang mantap perlu terjalin kukuh sebagai teras kepada keutuhan pembinaan organisasi. Dalam usaha membina mahabah dan ukhuwah dalam organisasi ini, Imam Hasan al-Banna, mengariskan tiga perkara yang perlu diberi perhatian dan dihayati bersama :

i. Ta’aruf (Kenal Mengenali)

Menghidupkan budaya kenal mengenali secara baik di antara seluruh warga organisasi semaksima mungkin. Kenal mengenali antara satu sama lain akan membawa kepada mukadimah mahabah dan ukhuwah. Proses untuk ta’aruf secara tabienya memang luas, antara lainnya ialah melalui ziarah, musafir bersama, makan bersama, menghadiri solat berjamaah, menyertai kursus bersama, bersama dalam acara sukan atau rekreasi atau program-program luar, dan sebagainya lagi.

ii. Tafaahum (Faham Memahami)

Menghidupkan budaya faham memahami antara satu sama lain. Faham memahami akan membawa kepada sikap berlapang dada, terbuka, belas kasihan, toleransi, appresasi, empati dan sebagainya

iii. Takaaful (Tolong Menolong)

Budaya tolong menolong ini antara kesan positifnya ialah mewujudkan kasih sayang dan meringankan beban yang terpikul oleh seseorang. Firman Allah yang bermaksud : Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong menolong dalam perkara keburukan dan keji. (al-Maidah 2) Bersabda RasululLah saw : Seorang muslim yang keluar dari rumahnya semata-mata dengan ikhlas untuk membantu saudaranya yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan ganjaran kepadanya sama seperti ganjara seorang yang beri’tikaf di masjid ku sepuluh tahun (al-Baihaqi) Sabda RasululLah saw : Hendaklah kamu menolong saudara kamu yang dizalimi dan yang menzalimi. Sahabat bertanya, bagamanakan cara untuk menolong saudara kita yang menzalimi ? Lalu sabda RasululLah saw, engkau sekat atau selamatkan ia dari melakukan kezaliman.


Kedua : Pembinaan Masjid : Markaz Tarbiyyah dan Siyyasah

Para skolar Islam merumuskan bahawa fungsi masjid dalam sejarah pembinaan masyarakat Islam amat besar dan luas. Ia merangkumi fungsi sebagai pusat pendidikan spritual dan akhlak, paksi pengabdian diri kepada Rabb, pusat pentadbiran siyyasah dan ijtimaiyyah, pusat pengadilan, pusat perhubungan diplomatic dan sebagainya. Dalam konteks tajuk yang kecil ini, barangkali ruh atau intisari kepentingan masjid itu yang sesuai untuk dikutip bagi memperlengkapkan usaha pembinaan sesebuah organisasi. Ruh masjid bolehlah dirumus kepada dua perkara pokok. Pertama, pembinaan nilai spritual, yang merangkumi aspek penekanan pengabdian diri yang total kepada Allah dan kedua, menjadi pusat atau markaz pembinaan budaya social atau social culture. Dua aspek ini amat penting terbina dalam organisasi. Batu bata yang diadun dengan nilai spritual yang tinggi dan budaya social yang ampuh pasti menjelma sebagai batu bata berkualiti cemerlang dan bakal mengukuhkan bangunan dan mampu bertahan menghadang apa jua cabaran yang mendatang. Justeru itu, pemakmuran masjid sebenarnya adalah salah satu kayu ukur yang penting dalam menilai ketrampilan nilai spritual dan budaya social yang unggul dalam sesebuah masyarakat atau warga organisasi.

Tazkirah senat 020303

Ciri-Ciri Khusus Islam : Rabbaniyyah

Rabb adalah perkataan arab yang dinisbahkan kepada Allah. Perkataan manusia rabbani, contohnya, membawa maksud, manusia yang berpengetahuan tentang Allah, berpegang teguh dan beramal dengan ajaran Allah. Firman Allah yang bermaksud : Akan tetapi (ia berkata), ‘hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajar al-kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya’ (ali-Imran 79)

Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya al-khashoish al-ammah lil Islam menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan rabbaniyyah itu adalah meliputi empat aspek :

i. Rabbaniyyah al-ghoyah (tujuan/matlamat)

Rabbaniyah al-ghoyah atau rabbaniyyah dari sudut tujuan, mengambarkan betapa setiap matlamat atau tujuan sesuatu usaha, amal, cita-cita, sasaran, perjuangan, pengorbanan dan halatuju kehidupan manusia haruslah dalam acuan dan kerangka menuju dan mencapai keredhaan Allah.

Firman Allah : Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja bersungguh-sungguh menuju Rabbmu, maka pasti kamu akan menemuinya’ (al-Insyiqaq 6)

Firman Allah : Dan tiadalah Aku mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Ku (adz-Dzariyyat 56)

Firman Allah : Katakanlah : ‘sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku, hanyalah untuk Allah, Rabb sekalian alam, tiada sekutu bagi Nya, dan demikian itulah aku diperintahkan dan aku adalah orang yang pertama menyerah diri (kepada Allah) (al-An’am 162-163)

ii. Rabbaniyyah al-wijhah (persepsi)

Rabbaniyyah al-wijhah membawa maksud : Sesuatu persepsi, tanggapan dan worldview adalah dilihat melalui kerangka kacamata atau acuan yang dipandukan oleh Allah. Sebagai contohnya bagaimana Allah menyebut dalam al-Quran bagaimana persepsi dan worldview rabbaniyyah berkaitan dengan tentang kehidupan dunia dan akhirat.

Firman Allah : Katakanlah : Matabenda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja (dan ahkirnya akan lenyap), dan balasan hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang yang bertaqwa dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikitpun (an-Nisa’ 77)

Firman Allah : Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahgiaan akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagian kamu dari dunia. Dan berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah engkau melakukan kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melakukan kerosakan (al-Qasas 77)

Firman Allah : Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat sebanyak-banyaknya (hartabenda, pengaruh). Sehinggalah kamu masuk ke lubang kubur. Jangan sekali-kali (bersikap sedemikian), kamu akan mengetahui kelak (akibat buruknya). Sekali lagi (diingatkan), jangan sekali-kali, kamu akan mengetahuinya kelak. Demi sesungguhnya kamu akan mengetahui dengan pengetahuan yang yakin. Demi sesungguhnya kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin. Selain dari itu, sesungguhnya pada hari itu kamu akan ditanya tentang segala nikmat (yang telah kamu nikmati) (at-Tahaathur 1-8)


iii. Rabbaniyyah al-masdar (sumber)

Rabbaniyyah al masdar bermaksud : segala sumber dan akar umbi kepada kehidupan di seluruh alam ini adalah berpunca dari acuan Allah dan mengembalikan sumber yang menjadi rujukan serta sandaran peraturan kehidupan manusia seluruhnya kepada ketetapan Allah.

Firman Allah : Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah lah (datangnya)… (an-Nahlu 53)

Firman Allah : Dan Kami turunkan kepada mu (Muhammad) al-Kitab (Quran), untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang yang berserah diri. (an-Nahlu 89)

Friman Allah : Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri dari kalangan kamu, sekiranya kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya, sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Firman Allah : Sesungguhnya telah datang kebenaran kepadamu dari Tuhanmu … (Yunus 94)


iv. Rabbaniyyah al-manhaj (sistem)

Rabbaniyah al-manhaj bermaksud setiap sistem, peraturan, kaedah, dan undang-undang bagi menyempurnakan kehidupan insaniah manusia adalah berteras dan berasaskan kepada acuan Allah.

Firman Allah : Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (ad-din) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (al-Jaatsiyah 18)

Firman Allah : Barangsiapa yang mencari selain dari Islam sebagai ad-Din , nescaya akan ditolak (oleh Allah) dan di akhirat ia akan termasuk ke dalam golongan yang rugi.


Tazkirah Senat Ramadhan 2003