Thursday, February 21, 2008

Penyusunan Organisasi : Sorotan Sirah Rasulullah saw.

Firman Allah dalam surah as-Saff yang bermaksud : Sesungguhnya Allah menyintai orang-orang yang apabila mereka berjuang pada jalan Allah, maka mereka berada dalam susunan (organisasi) yang tersusun, seumpama batu-bata sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Dua aspek penting pengajaran dari ayat ini ialah, pertama tuntutan Allah betapa perlunya penyusunan kerja yang rapi dan kukuh, ibarat batu bata yang tersusun rapi yang menjadi tunggak kepada keutuhan sesebuah bangunan. Kedua, Allah akan menumpahkan curahan kasih sayangNya kepada mereka yang memposisikan diri mereka ibarat batu batu yang tersususn yang memperkukuhkan sesebuah bangunan.

Batu bata yang tersusun rapi merupakan paksi kepada tertegaknya bangunan yang teguh dan kukuh. Peranan batu batu amat penting, meskipun secara tersendiri, batu bata hanyalah ketulan batu yang tidak menampakkan apa-apa gambaran sebuah bangunan, tetapi apabila batu bata yang kecil itu disusun dengan baik, maka tertegak sebuah bangunan. Hakikatnya, bukan sahaja batu bata itu perlu disusun secara rapi dan kukuh, malah kualiti batu bata itu sendiri pun mestilah teruji. Bangunan boleh rebah atau cacat, bukan hanya kerana penyusunan tidak rapi, malah malapetaka boleh menimpa jika batu bata itu sendiripun rapuh atau rosak.

Firman Allah dalam ayat yang terdahulu dari ayat di atas, memperlihatkan pentingnya kualiti batu bata. Firman Allah yang bermaksud : Wahai oang yang telah beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak perbuat ? Besarlah kebencian Allah kepada orang yang berkata tetapi tidak melaksanakannya.

Ayat ini antara lain menekankan pentingnya pengislahan peringkat individu. Individu yang berposisi seperti batu bata dalam organisasi perlu meningkatkan kualiti diri. Antaranya ialah jangan hanya beridealisme atau berkata kata, malah setiap idealisme itu hendaklah dijelmakan dalam bentuk tindakan dan penghayatan.

Pembinaan Organisasi Negara Madinah : Sorotan Sirah

Dalam pembinaan organisasi besar, iaitu sebuah negara di Madinah atau Yatsrib, terdapat tiga prinsip teras yang diketengahkan oleh sunnah RasululLah saw. Beberapa pengiktibaran dari pembinaan ini sudah pasti dapat dimanfaatkan untuk teladan umat masakini dalam pembinaan oraganisasi di peringkat manapun. Prinsip-prinsip tersebut ialah :

Pertama : Ikatan persaudaraan Muhajirin dan Ansor

Mengukuhkan ikatan emosi, kejiwaan dan social di kalangan warga organisasi kenegaraan adalah teras penting dalam penyusunan saf yang kukuh. Begitu juga kalau ditinjau pada organisasi di peringkat-peringkat yang lain. Bagaimana mungkin sebuah organisasi itu tertegak kukuh seandainya wujud perpecahan, perbalahan dan persengketaan dari sudut emosi, jiwa dan social di kalangan warga organisasinya. Justeru itu ikatan mahabah dan ukhuwah tulin yang mantap perlu terjalin kukuh sebagai teras kepada keutuhan pembinaan organisasi. Dalam usaha membina mahabah dan ukhuwah dalam organisasi ini, Imam Hasan al-Banna, mengariskan tiga perkara yang perlu diberi perhatian dan dihayati bersama :

i. Ta’aruf (Kenal Mengenali)

Menghidupkan budaya kenal mengenali secara baik di antara seluruh warga organisasi semaksima mungkin. Kenal mengenali antara satu sama lain akan membawa kepada mukadimah mahabah dan ukhuwah. Proses untuk ta’aruf secara tabienya memang luas, antara lainnya ialah melalui ziarah, musafir bersama, makan bersama, menghadiri solat berjamaah, menyertai kursus bersama, bersama dalam acara sukan atau rekreasi atau program-program luar, dan sebagainya lagi.

ii. Tafaahum (Faham Memahami)

Menghidupkan budaya faham memahami antara satu sama lain. Faham memahami akan membawa kepada sikap berlapang dada, terbuka, belas kasihan, toleransi, appresasi, empati dan sebagainya

iii. Takaaful (Tolong Menolong)

Budaya tolong menolong ini antara kesan positifnya ialah mewujudkan kasih sayang dan meringankan beban yang terpikul oleh seseorang. Firman Allah yang bermaksud : Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong menolong dalam perkara keburukan dan keji. (al-Maidah 2) Bersabda RasululLah saw : Seorang muslim yang keluar dari rumahnya semata-mata dengan ikhlas untuk membantu saudaranya yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan ganjaran kepadanya sama seperti ganjara seorang yang beri’tikaf di masjid ku sepuluh tahun (al-Baihaqi) Sabda RasululLah saw : Hendaklah kamu menolong saudara kamu yang dizalimi dan yang menzalimi. Sahabat bertanya, bagamanakan cara untuk menolong saudara kita yang menzalimi ? Lalu sabda RasululLah saw, engkau sekat atau selamatkan ia dari melakukan kezaliman.


Kedua : Pembinaan Masjid : Markaz Tarbiyyah dan Siyyasah

Para skolar Islam merumuskan bahawa fungsi masjid dalam sejarah pembinaan masyarakat Islam amat besar dan luas. Ia merangkumi fungsi sebagai pusat pendidikan spritual dan akhlak, paksi pengabdian diri kepada Rabb, pusat pentadbiran siyyasah dan ijtimaiyyah, pusat pengadilan, pusat perhubungan diplomatic dan sebagainya. Dalam konteks tajuk yang kecil ini, barangkali ruh atau intisari kepentingan masjid itu yang sesuai untuk dikutip bagi memperlengkapkan usaha pembinaan sesebuah organisasi. Ruh masjid bolehlah dirumus kepada dua perkara pokok. Pertama, pembinaan nilai spritual, yang merangkumi aspek penekanan pengabdian diri yang total kepada Allah dan kedua, menjadi pusat atau markaz pembinaan budaya social atau social culture. Dua aspek ini amat penting terbina dalam organisasi. Batu bata yang diadun dengan nilai spritual yang tinggi dan budaya social yang ampuh pasti menjelma sebagai batu bata berkualiti cemerlang dan bakal mengukuhkan bangunan dan mampu bertahan menghadang apa jua cabaran yang mendatang. Justeru itu, pemakmuran masjid sebenarnya adalah salah satu kayu ukur yang penting dalam menilai ketrampilan nilai spritual dan budaya social yang unggul dalam sesebuah masyarakat atau warga organisasi.

Tazkirah senat 020303

No comments: