Ancaman Islam Liberal
Pendahuluan
Istilah Islam Liberal dipopularkan oleh sekelompok aktivis di Indonesia melalui satu jaringan kerjasama di antara para pendukung aliran ini yang dinamakan Jaringan Islam Liberal. Pada asalnya istilah itu mula diperkenalkan oleh Leonard Binder dalam bukunya Islamic Liberalism : critique of development ideologies, terbitan tahun 1988. Pada tahun 1995, Greg Barton menulis sebuah buku dengan tajuk The Emergence of neo-modernism : a progressive, liberal movement of Islamic thought. Buku ini mengupas tentang pemikiran para tokoh Islam Liberal Indonesia seperti Nurcholis Madjid, Djohan Affandi dan Abdurrahman Wahid. Di Indonesia, aliran ini secara terbuka mendedahkan diri mereka Islam Liberal. Namun di Malaysia, pendukung aliran ini tidak bertindak menampilkan diri mereka sebagai Islam Liberal secara terbuka, namun berdolak-dalik dengan berselindung di sebalik istilah-istilah Islam yang lain, walaupun pada hakikatnya teras pemikiran mereka adalah selari dengan asas-asas pemikiran aliran Islam Liberal yang telah dikenali ramai. Syed Akhbar Ali menafikan dirinya berada pada aliran Islam Liberal dengan menyatakan Just for the record, I would like to declare that I am a hardcore, conservative, fundamentalist Muslim. Walaupun umum telah mengetahui melalui penulisan-penulisannya berkaitan Islam secara jelas mendukung aliran Islam Liberal. Malah tanpa malu dia menuduh indeed it is the religious scholars who are the real liberalist, not me. (Syed Akhbar Ali : 2006)
Antara tokoh-tokoh aliran Islam Liberal atau neo-modenisme di Malaysia ialah, Zainah Anwar, Kassim Ahmad, Farish A Noor dan Akhbar Ali. Nama-nama lain di peringkat antarabangsa ialah Mohamad Arkoun, Ameenah Wadud, Nurchalis Madjid, Geonawan Mohamad dan lain-lain ( Dr Fauzi Deraman : 2006)
Isu-Isu Pokok Pemikiran Islam Liberal
al-Quran Edisi Baru
Islam Liberal membentuk agenda untuk mengedit al-Quran secara kritikal dengan menimbulkan persoalan dan keraguan berkaitan dengan sejarah pembukuan al-Quran dan berbagai ragam (qiraat) bacaan al-Quran. Seorang tokoh Islam Liberal Indonesia Taufiq Adnan Amal, pensyarah ulumul Quran IAIN Makasar menyatakan Keyakinan semacam itu (keimanan umat Islam terhadap ketulenan al-Quran sebagai Wahyu Allah) sesungguhnya lebih merupakan formulasi dan angan-angan teologis yang dibuat oleh para ulama’ sebagai sebahgian dari formulasi doktrin-doktrin Islam… Hakikat dan sejarah penulisan al-Quran penuh dengan nuansa yang rumit dan tidak sunyi dari perdebatan, pertentangan, tipu daya dan rekayasa.
Aliran Liberal melalui tokohnya seperti Nasir Hamid Abu Zaid, seorang penulis Mesir, memperkenalkan pendekatan Hermeneutika yang bertujuan untuk merubah orientasi tafsir sediaada kepada format yang sama dengan tafsir bible yang digunakan oleh Kristian. Apabila hermeneutika diterapkan pada al-Quran, maka teks-teks dan ayat-ayat al-Quran akan dipertanyakan dahulu kebenarannya; betulkan ia Kalamullah, bukankah ia telah bercampur dengan kata-kata manusia, apakah Tuhan bercakap dengan bahasa arab, apakah al-Quran sesuai dengan peredaran masa dan bersifat saintifik, dan berbagai lagi persoalan yang boleh mengugat keyakinan umat Islam terhadap al-Quran.
Aliran Liberal akan merujuk kepada Quran dengan mengambil nas berdasarkan tafsiran dan takwilan menurut metodologi mereka dengan membelakangkan semua disiplin ilmu al-Quran yang telah disepakati oleh ulama’ Islam sepanjang zaman.
Pluralisme Agama
Di sisi Allah agama atau ad-Din hanya satu iaitu Islam. Aliran Liberal Islam membawa faham semua agama adalah sama. Dr Nurchalis Madjid dalam tulisannya membawa hujah faham pluralisme agama ini dengan menyalahgunakan makna perkataan Islam atau aslama yang membawa maksud penyerahan diri kepada Tuhan (Allah). Bagi beliau sesiapa yang menyerahkan diri (aslama) kepada Tuhan, maka mereka adalah Islam, tanpa mengira agama apa yang mereka anuti.
Dr Alwi Shihab, seorang tokoh pluralis agama dalam bukunya Islam Inklusif menyebutkan …pluralisme agama adalah kerukunan penting demi wujudnya keharmonian hidup masyarakat beragama di Indonesia. Justeru, tidaklah wajar bagi seorang pluralis agama untuk mendakwa bahawa kebenaran (truth) hanya berada di sisi agamanya sahaja.
Usaha untuk menubuhkan IFC (Inter Faith Council) baru-baru ini adalah merupakan satu impak besar dukungan Islam Liberal untuk mengugat kedaulatan syariat dan martabat umat Islam sekaligus dilihat suatu usaha untuk menjayakan projek pluralisme agama.
Tujuan utama IFC ialah untuk menjadi sebuah suruhanjaya yang Sebagai sebuah badan berkanun ia mempunyai kuasa undang-undang bagi mengubah mana-mana agama (termasuk Islam) walaupun atas desakan penganut agama lain. Di bawah adalah antara tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh badan itu :
1. Seorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
2. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada asal agama mereka [murtad] dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang
3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah civil
4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seorang Muslim bahawa ia beragama islam
5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam dan orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam[murtad] sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang
6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak
7. Orang-orang yang bukan Islan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya
8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadah orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid
9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada mengguna perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya
10. Bible dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka
11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar disemua sekolah.
12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda suatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing
13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam
Sekularisme dan Penolakan Syariat Islam
Berkata Akhbar Ali … this credit ( kerana Turki diterima anggota EU) is largely due to Islamic reforms introduced by the great Islamic leader Mustafa Kamal Atarturk in the 1920s which saved Turkey from the collapse of the morally and meterially bankrupt Khalifah Uthmaniah. These reforms include the introduction of new legal system copied from the Swiss.
Aliran Liberal mengkagumi Mustafa Kamal dan mengelarkannya pemimpin besar Islam kerana melakukan reformasi Islam. Sedangkan sejarah membuktikan bahawa Mustafa Kamal adalah alat Yahudi dan Kristian untuk menjatuhkan Khilafah Uthmaniah dan membawa faham sekular dan nasionalis ke dalam jiwa umat Islam. Berdasar catatan sejarah, Mustafa Kamal pada tahun 1926 membatalkan undang-undang keluarga Islam, 1928 memansuhkan Islam sebagai agama resmi dan istihar Turki negara sekular, 1931 azan ditukar ke bahasa Turki dan 1935 menukarkan masjid Sofia menjadi sebuah muzium.
Berkata Akhbar Ali lagi … for thousand years the Muslim have been down in the dumps precisely because of too much influence of religion in their daily life…
Dua tokoh besar Islam Liberal yang amat tegar membela konsep sekularisma (pemisahan Islam dari pemerintahan) ialah Dr Norchalis Madjid dari Indonesia dan Dr Ali Abdul Raziq dari Mesir. Pandangan mereka ini jelas menjadi mata rantai dengan apa yang telah dimulakan oleh Mustafa Kamal di Turki, dan kini menjadi ikutan di kebanyakan negara umat Islam.
Aliran Liberal juga secara terang-terangan menentang pelaksanaan syariat Islam secara syumul dalam sesebuah negara umat Islam.
Feminisme
Isu-isu kontroversi yang ditimbulkan oleh Islam Liberal dalam usaha mereka kononnya ingin membebaskan wanita dari cengkaman Islam yang zalim terhadap wanita ialah :
1. Poligami adalah tidak sah dan mesti dinyatakan batal secara undang-undang
2. Perkhawinan yang berbeda agama mesti dikira sah
3. Masa iddah bukan hanya untuk wanita, tetapi juga bagi lelaki.
4. Isteri boleh juga menjatuhkan talak
5. Bahagian harta pusaka anak-anak lelaki dan anak-anak wanita adalah sama.
Pendukung kuat faham feminisme ini di Malaysia ialah Sisters In Islam yang turut mendukung gagasan IFC yang telah ditolak oleh Islam dan kerajaan.
Faktor-Faktor Membawa Kepada Faham Islam Liberal
1. Mengambil Islam dengan rujukan dari pemikiran orientalis dan pengikut-pengikut mereka yang memusuhi atau mempunyai tanggapan yang salah tentang Islam.
2. Kagum dan terpikat dengan pencapaian kebendaan dan budaya hidup barat melalui modenisme yang mereka anuti.
3. Salah faham tentang punca kemunduran umat Islam dan kerajaan-kerajaan Islam.
4. Tidak memahami Islam secara sahih, syamil dan lengkap.
Langkah-Langkah Pencegahan Faham Islam Liberal
1. Pemerintah di negara-negara umat Islam perlu bertindak tegas untuk menghalang penyebaran pemikiran Islam Liberal ini samada melalui pendidikan, penerangan dan perundangan.
2. Gerakan Islam dan NGO-NGO Islam perlu mengambil langkah menyekat faham ini dengan dakwah yang syamil dan tindakan-tindakan susulan yang lebih berkesan.
3. Umat Islam perlu melengkapkan diri mereka dengan kefahaman Islam tulen yang mantap dengan sumber rujukan yang muktabar. Di senaraikan sedikit sumber rujukan asas-asas ilmu Islam yang boleh membantu kita memahami Islam untuk menghadapi tohmahan Islam Liberal :
· Kajian al-Quran / Dr Subhi Salleh
· Kajian Ilmu Hadis / Dr Subhi Salleh
· Al-Quran dan as-Sunnah : referensi tertinggi umat Islam / Dr Yusuf al-Qaradhawy
· Iman dan Kehidupan / Dr Yusuf al-Qaradhawy
· Karekteristik Islam / Dr Yusuf al-Qaradhawy
· Fiqih Tajdid dan Shahwah Islamiyyah / Dr Yusuf al-Qaradhawy
· Fiqih Daulah / Dr Yusuf al-Qaradhawy
· Manusia dan Islam / Dr Harun Din
· Islam : Fiqrah, Harakah dan Daulah / Us Abdul Hadi Awang
· Sirah Nabawiyyah / Said Ramadhan al-Buthi
· Siapa Thoghut / Hamdan Muhammad
· Jihad / Dr Muhammad Naeem Yassin
4. Mengabungkan diri bersama dengan Jama’atul Muslimin, al-Firqah an-Naajiyah, at-Tho’iffah al-Qaa’imah dan bernaung di bawah kepimpinan ulama’.
Penutup
Sesuai dengan motto faham Liberal Islam iaitu Islam yang Membebaskan, golongan ini mengunakan Islam untuk mencipta Islam baru yang sesuai dengan pemikiran dan nafsu mereka. Mereka merombak seluruh struktur disiplin keilmuan Islam yang telah diteguhkan oleh Rasulullah saw, para sahabat dan para alim ulama’ Islam di sepanjang zaman semata-mata kerana taksub dengan pemikiran-pemikiran yang bermuara dari akal dan niat jahat para orientalis barat untuk menghancurkan Islam dan menjajah umatnya. Mereka bebaskan Islam dari strukturnya yang kukuh dan sahih lalu membina Islam sesuai dengan kehendak orientalis Barat yang berniat jahat terhadap Islam tanpa dasar dan hujah yang kukuh. Bahaya yang menimpa umat Islam sekarang ini ialah apabila pemikiran Islam Liberal ini meresap secara perlahan dan sedikit demi sedikit tanpa disedari dan lebih merbahaya, ia juga bertopengkan Islam.
Rujukan
Isu-Isu sentral dalam pemikiran Islam Liberal : kes Indonesia dan pengajarannya untuk Malaysia / Dr Ugi Oleh Suharto. UIA, 2006
Islam Liberal : tafsiran agama yang kian terpesong / Dr Fauzi Deraman. Kuala Lumpur, 2006
Lapuran Sekretariat ACCIN. Kuala Lumpur: ABIM, 2007
Lapuran Akhbar Tempatan dan Laman Web.
Buku-buku tulisan tokoh dan pengikut Islam Liberal.
KPI Kelab Iqra Jan 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment