Monday, May 5, 2008

BN MENANG KITA SENANG

BN MENANG KITA SENANG

Tajuk di atas itu bukan rekaan saya untuk dijadikan title bagi catatan ini. Tajuk atau motto atau mungkin boleh masuk kategori pantun sekerat yang tersebut itu sebenarnya adalah tulisan besar yang terpapar pada pintu gerbang untuk memasuki sebuang kampung berhampiran rumah saya. ( sebenarnya dalam bahagian UMNO yang terkuat di dunia ). Di puncak pintu gerbang itu pula terpacak bendera BN. Saya perhati tak ada pulak bendera UMNO kat situ. Walaupun pada masa kempen PRU12 yang lalu, kawasan itu dipenuhi juga oleh bendera keris.

Bila baca motto atau pantun sekerat kat atas pintu gerbang itu, terasa gatal pula minda saya nak cuba mengulas. Walaupun saya sememangnya sedar diri, bahawa kakitangan kerajaan, seperti yang diingatkan oleh Pak Lah, agar biarkan orang politik selesaikan masalah politik, kakitangan kerajaan jangan masuk campur. Saya nak mengulas dan bercakap juga soal politik. Bukan saya nak langgar nasihat atau ugutan Pak Lah, tapi saya yakin yang Pak Lah maksudkan jangan campur urusan politik itu ialah jangan pegang mana-mana jawatan dalam mana-mana parti politik, atau jangan bercakap tentang politik di atas platform parti-parti politik, dan bukannya jangan bercakap langsung tentang politik. Saya tidak memegang mana-mana jawatan dalam parti politik. Saya juga bukan berkempen atau bercakap untuk mana-mana parti politik. Saya cuma ingin berkongsi untuk bercakap mengenai politik secara telus. Pada saya Pak Lah tentu setuju dengan saya. Semua parti politik perlu dengar pandangan atau idea dari mana-mana pihak yang menjadi pengundi mereka, lebih-lebih lagi dari kakitangan kerajaan. Apatah lagi orang Universiti. Mereka juga mempunyai idea dan pandangan-pandangan yang baik dan bernas. Amat baik kalau bagi mereka peluang untuk bercakap secara telus dan jujur, lalu parti-parti politik akan dapat menilai persepsi masyarakat secara menyeluruh kepada mereka. Dan ini tentunya amat berguna untuk mereka merangka strategi politik pada masa depan. Saya yakin, semua kakitangan kerajaan hari ini amat profesional dalam kerjaya mereka. Mereka tahu membedakan antara tugasan dan tanggungjawab mereka sebagai kakitangan kerajaan dan peranan mereka sebagai warga dan pengundi yang berakal serta matang. Kakitangan kerajaan bukan hamba parti politik, mereka juga hamba Allah dan kuli rakyat macam Pak Lah juga. Tetapi yang agak nyatanya ialah, yang kerap kali tidak bertindak profesional ialah ahli politik. Mereka yang kerap mengunakan kemudahan kerajaan untuk kepentingan peribadi dan parti politik mereka sendiri.

Berbalik kepada pantun sekerat ’BN MENANG KITA SENANG’. Dalam masa orang politik sibuk berkempen dalam musim PRU12 baru-baru ini, saya berkesempatan ke majlis rewang (persiapan kenduri, kata orang jawa rewang) dan ambil kesempatan bersembang dengan beberapa orang veteran kampung tempat saya menetap. Seorang dari mereka berkata pada saya : ’ Ustaz... orang PAS ni tak payahlah sibuk-sibuk lagi nak masuk kampung kita berkempen...’ Saya tanya kenapa wak? Selamba saja pentol jawa tu jawab : ’Sekarang ni orang kampung dah mula terasa peritnya hidup bawah BN.... Harga sawit naik,... tapi harga baja pun naik..racun naik...gandum naik...minyak masak naik....jenayah naik...semua naik.... kalau PAS tak datang kempen pun kita orang dah rasa peritnya..... tak payah PAS kempen pun kami tak akan undi BN lagi.....’. al hasilnya.....BN hilang lima kerusi di Johor. Dan yang pastinya...Johor bukan lagi selamat bagi BN, khususnya UMNO.

Pada saya, yang dimaksudkan dengan KITA SENANG tu ialah ketua-ketua bahagian UMNO dan para pimpinan UMNO di pelbagai peringkat, dan pastinya bukan rakyat macam saya dan wak-wak yang mengait sawit yang marhaein ini yang senang. Mereka yang cari makan dan kemewahan melalui UMNO itu yang senang. Bukan kami rakyat marhein ini. UMNO ni patutnya gunalah akal sikit bila nak tarik mengundi atau sokongan rakyat. Rakyat perit memamah kepahitan kenaikan harga barang dan ketandusan ruang untuk bekerja mencari sesuap nasi, mereka datang memasarkan gurindam palsu kepada rakyat. Di Johor banyak dipaparkan di tepi-tepi jalan oleh BN senarai perbandingan harga barangan makanan antara negara kita dengan Singapura, Thailand dan lain-lain. Ambil contoh dipaparkan harga gandum di Malaysia ialah RM1.35. Terkejut beruk isteri saya baca kenyataan tu.... kedai mana pulak jual gandum dengan harga macam tu punya murah. Tak sampai satu kilometer dari papan tanda harga tu ada beberapa buah kedai runcit yang menjual gandum dengan harga RM2.30 hingga RM2.50 sekilo. Saya kata kat isteri saya : gandum yang dah expired kut?

Nasihat ikhlas dari saya kakitangan kerajaan kepada parti UMNO/BN.... tolonglah jangan perbodoh kami, rakyat jelata nih. Walaupun ada YB UMNO yang kononnya juara cakap kat Parlimen pernah berkata bahawa orang Universiti tu goblok bin jendul... goblok ke..jendul ke..kami masih ada otak untuk berfikir dan memilih mana yang betul mana yang salah. Keangkuhan dan suka menganggap orang yang tidak menyokong mereka sebagai bodoh, tidak tahu bersyukur, tidak sokong ketuanan Melayu dan berbagai lagi, yang menjadi wirid sebilangan besar para pimpinan UMNO pada hamba rakyat, sebenarnya adalah faktor utama kebencian rakyat kepada mereka.

1 comment:

infogue said...

Artikel di Blog ini bagus dan berguna bagi para pembaca.Anda bisa lebih mempromosikan artikel anda di Infogue.com dan jadikan artikel anda topik yang terbaik bagi para pembaca di seluruh Indonesia.Telah tersedia plugin/widget.Kirim artikel dan vote yang terintegrasi dengan instalasi mudah dan singkat.Salam Blogger!!!

http://berita-politik-dunia.infogue.com/
http://berita-politik-dunia.infogue.com/bn_menang_kita_senang