Tuesday, January 1, 2008

Penyakit Organisasi : Kelemahan Tarbiyyah

Salah satu rutin yang saya terpaksa hadapi dalam Mesyuarat Senat Universiti ialah menyampaikan tazkirah kepada ahli-ahli senat sebaik sahaja NC membuka majlis dengan al-Fatehah. Ini merupakan salah satu tazkirah saya pada tahun 2003 dulu yang masih ada dalam simpanan laptop, jadi saya just copy paste untuk tatapan bersama..... Sebagai pembuka bicara blog ini.......


Pengukuhan Organisasi : Mengutip pelajaran dari sirah Rasulullah saw (iv)
Penyakit dalam organisasi : kelemahan dalam pentarbiyyahan.

Di antara peranan penting yang perlu dimainkan oleh kepimpinan dalam organisasi ialah peranan pentarbiyyahan. Tarbiyyah berakar umbi pada perkataan rabb yang membawa maksud yang agak luas. Sepertimana yang disebut oleh Ibnu Qayyim al-Jauzi dan sebahgian pemikir/ulama’ Islam yang lain, ianya meliputi unsur-unsur mendidik, mengajar, membimbing, mengatur, mengurus, memimpin dan menunjuk. Peranan pentarbiyyahan ini menjadi pemangkin yang aktif kepada wujudnya learning culture bagi sesebuah organisasi yang sekaligus akan membawa kepada pembentukan, pengukuhan dan penambahbaikan kepada nilai teras, kreativiti dan inovasi di kalangan warga sesebuah organisasi. Pemimpin adalah seorang murabbi atau orang yang memainkan fungsi pentarbiyyahan yang penting dalam kepimpinan organisasi. Mereka sewajarnya bukan hanya mampu to manage tetapi perlu juga mampu untuk memimpin, membimbing dan mendidik sehingga warga yang dipimpinnya menjadi sebati dengan budaya atau culture yang menjadi teras organisasi.

Salah satu perisian tarbiyyah yang perlu diberi perhatian oleh kepimpinan organisasi ialah pentarbiyyahan core values atau nilai-nilai teras sesebuah organisasi. Core values atau nilai-nilai teras adalah umpama ruh yang menghidup atau mengerakkan jentera dan mekanisme organisasi.

Sejarah perjuangan Rasulullah saw banyak memaparkan bagaimana aspek pengukuhan nilai-nilai teras ini memainkan peranan yang penting dalam membina kekuatan organisasi Islam pada masa itu. Di antara contoh di mana Rasulullah saw menanam core values di kalangan sahabat ansar yang bakal menjadi pendukung dan pengerak organisasi Islam di Madinah, ialah sepertimana yang termaktub dalam dua bai’atul aqabah. Kedua-dua bai’ah tersebut merupakan suatu akujanji sahabat ansar untuk mendukung dan menghayati core values sebagai warga organisasi Rasulullah saw. Secara ringkas isi bai’ah tersebut meliputi aspek-aspek berikut :

Bai’ah aqabah yang pertama. Bai’ah ini lebih menumpukan kepada personal core values iaitu nilai-nilai tidak syirik kepada Allah, tidak berzina, tidak menipu, tidak membunuh anak, tidak bermuamat riba dan tidak mengalakkan kemaksiatan dan kerosakan.

Bai’ah yang kedua. Bai’ah ini meliputi nilai-nilai teras organisasi yang meliputi nilai-nilai ketaatan dan kepatuhan kepada kepimpinan, kesediaan untuk melakukan pengorbanan harta dan sebagainya, nilai-nilai amar ma’aruf dan nahi mungkar atau usaha islah dan penambahbaikan, dan nilai-nilai jihad atau semangat dan kesungguhan dalam melakukan amal.

Komponan yang penting dalam nilai teras organisasi Rasulullah saw secara ringkasnya dapat dihimpunkan sebagai : tidak syirik kepada Allah, tidak melakukan maksiat dan jenayah social, menjamin ketenteraman manusia dan sejagat, ketaatan dan kepatuhan, penambahbaikan, pengorbanan dan jihad serta kesungguhan dalam berusaha. Core values ini berjaya disemai dalam jiwa dan mental serta menjadi budaya atau culture organisasi Rasulullah saw di Madinah. Ruh atau core values inilah yang menyemarakkan jentera pengurusan dan strategi perjuangan para sahabat sehingga meraih kemenangan mencapai misi organisasi Islam. Sejarah telah membuktikan betapa unggulnya umat Islam pada ketika itu, bukan hanya trampil dari sudut sahsiah dan imej diri malah turut menampilkan system pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan negara serta organisasi yang mantap dan efisen mengatasi zamannya.

Kejayaan menyemai dan mengukuhkan core values sehingga menjadi culture dalam organisasi, tentunya terhasil melalui proses pentarbiyyahan yang panjang dan menyeluruh yang telah dilakukan oleh kepimpinan organisasi pada masa itu. Rasulullah saw dan barisan kepimpinannya telah melakarkan suatu bentuk falsafah kepimpinan yang jelas tentang peranan kepimpinan yang sebenar yang harus dimainkan oleh setiap barisan kepimpinan. Kepimpinan bukan hanya sebagai manager tetapi juga adalah murabbi, yang sekaligus memikir, merancang, mengurus, mendidik, membimbing dan merangsang keunggulan sesebuah organisasi. Dalam melakukan pentarbiyyahan, dua kaedah penting yang ditunjukkan oleh kepimpinan Rasulullah saw. Pertama melalui lisan iaitu mengajar, mengarah dan menasihati. Kedua ialah melalui perbuatan atau teladan. Teladan sebagai murabbi, sebagai pemimpin organisasi, teladan dalam ibadah, teladan dalam bersahsiah, teladan dalam jihad dan pengorbanan, teladan dalam memikir dan merancang, teladan dalam berwawasan dan sebagainya lagi.

Falsafah tarbiyyah dalam kepimpinan organisasi sepertimana yang ditampilkan oleh kepimpinan Rasulullah itu perlu dijadikan pengiktibaran dalam usaha pengukuhan organisasi di sepanjang zaman. Saf kepimpinan perlu berusaha untuk menempatkan dirinya sebagai murabbi yang mampu memindahkan core values dari minda dan kertas ke alam realiti yang akan dihayati secara bersama dan bersungguh oleh setiap lapisan warga pendukung dan pengerak organisasi. Kegagalan kepimpinan dalam usaha seperti ini akan menjadikan organisasi itu kering dari ruh atau semangat positif yang boleh memberi nafas kepada pembentukan budaya unggul dan sekaligus akan merencat kelicinan pergerakan organisasi itu sendiri. Organisasi tanpa penghayatan core values, seperti yang pernah disebut oleh Walt Disney, akan menjurus kepada ‘spiritless and brainless organization’.


Tazkirah Senat : Oktober 2003

No comments: