Friday, May 2, 2008

Cemerlangkan Budaya Kerja Kita

Satu perkara yang saya sering ingatkan para sahabat di Universiti, dan tidak lupa kepada adik-adik yang telah bergraduan dan kini sudah mula mengecapi kehidupan berkerjaya di mana-mana organisasi sekalipun, ialah agar mereka menjadi pekerja yang paling cemerlang di jabatan atau di organisasi mereka berada. Menjadi cemerlang dalam kerjaya bukan hanya tuntutan yang datang dari sunnah Rasulullah saw dan ajaran Islam, malah mampu menjadi modal besar yang mengamit manusia kepada fikrah Islam yang kita bawa.

Seperti yang pernah dituturkan oleh al-ustaz Mustafa Mashur, seorang daie perlu menjadi teladan yang baik di medan mana sahaja mereka berpartisipasi. Medan yang sering kita berada ialah dalam organisasi kerjaya kita. Jangka masa kita berada di Univeriti atau pejabat cukup panjang. Paling tidak 8 jam sehari dan 5 hari seminggu. Makan tahun juga kadang-kadang kita bekerja dalam sesuatu jabatan atau organisasi itu. Yang pasti tentunya ramai manusia yang kita temui dan bergaul. Siapa mereka ini kalau bukan mad’u atau bakal mad’u kita. Tidak munasabah kalau kita tak terfikir untuk mengajak atau menarik mereka ke jalan Islam dan perjuangan Islam.

Kalau kita kaki surau, berkupiah ke tempat kerja, bertudung labuh, tasbih tak pernah lepas dari jari, sibuk kesana kemari menyokong perjuangan Islam, tetapi dalam kehidupan berkerjaya kita tidak cemerlang, malah sering curi tulang, pemalas, masuk mesyuarat pun lambat, kerja tak pernah beres dan berbagai lagi tingkah laku kerjaya yang jelek kita lakukan, maka apakah kita ingat orang yang tahu hal kita itu akan ‘respect’ atau hormat pada kita? Ya… kadang-kadang di depan kita orang akan hormat kita, tapi belakang kita mereka mengutuk dan sering menjauhkan diri dari kita. Kalau itulah persepsi orang pada kita, apakah kita yakin mereka akan menerima dakwah kita dengan selesa?

Saya sedih dengan sikap segelintir sahabat-sahabat yang memandang remeh soal kecemerlangan dalam kerjaya. Pada saya soal ketua kita berlainan faham atau tak faham Islam atau tak sebagus kita sekalipun, ini tak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita bekerja secara sambil lewa. Kita aktivis Islam, bicara kita Islami, lalu tak munasabah amalan atau budaya kerja kita bercanggah dengan Islam itu sendiri. Bukankah kerja kita itu ibadah. Bukankah kerja kita ikhlas untuk mengabdikan diri kepada Allah. Justeru itu kita sepatutnya menjadi pekerja yang paling cemerlang dalam organisasi kita, samada dari sudut budaya kerja atau menggunguli kompetensi-kompetensi yang lain.

Pesan Rasulullah saw dalam hadisnya : Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila ia melakukan sesuatu amal atau kerja, maka dilaksanakannya secara sempurna atau berkualiti (itqan) (al-Baihaqi).

Musuh perjuangan Islam atau mereka yang phobia tentang perjuangan Islam, seringkali menjadikan kelemahan atau kecacatan yang ada pada diri kita untuk dijadikan alasan bagi menolak perjuangan kita atau kadangkala kelemahan dan kecacatan itu dijadikan alasan oleh mereka untuk menindas atau mengambil tindakan negatif ke atas kita. Mereka adakalanya tiada alasan untuk mengenepikan kita dalam organisasi hanya semata-mata kerana fikrah dan perjuangan Islam yang kita dukung, tetapi bila kecacatan budaya kerja kita terlalu ketara, maka seringkali isu ini mereka perbesarkan dan digunakan sebagai alasan untuk mengenepikan peluang-peluang kita dalam kerjaya.

Musuh atau mereka yang phobia Islam tetap mencari berbagai alasan untuk menyekat aktivis Islam. Tetapi yang mustahak bagi kita fahami bersama ialah agar alasan sekatan itu bukannya datang dari kelemahan dan kecacatan diri sendiri yang secara sedar kita lakukan. Manusia mungkin menolak fikrah kita kerana mereka masih belum mampu memahami apa yang kita perjuangkan. Tetapi jangan sampai mereka hilang hormat atau penghargaan kepada kita kerana kecacatan budaya kerja yang ada pada kita.

1 comment:

Anonymous said...

Alhamdulillah. Syukur juga dipertemukan dengan tulisan pena hati ini. Semoga kita sama-sama menterjemahkan 'Budaya Kerja Cemerlang' ini dalam kehidupan kita.

http://nizam83.wordpress.com